Ahad, 13 November 2016

Perlawanan kedua di Tokyo 3 Mac -- Sarawak tetap berkeyakinan

ARKIB : 01/03/1999
JURULATIH Sarawak, Abdul Jalil Rambli tetap berkeyakinan anak-anak buahnya mampu memberi cabaran sengit kepada Kashima Antlers pada perlawanan suku akhir kedua bola sepak Piala Juara Antara Juara Asia ke-9 di Tokyo, 3 Mac ini.

Katanya, walaupun cuaca sejuk menjadi penghalang besar namun ia tidak akan melunturkan semangat juang para pemain untuk memberi persembahan bertenaga dan seterusnya mencipta kejutan.

''Kita tidak gentar lagi untuk berhadapan dengan skuad Kashima Antlers yang membariskan ramai pemain berwibawa.

''Berdasarkan kepada pertemuan pertama di Stadium Sarawak tempoh hari, para pemain sudah dapat mengetahui corak permainan mereka,'' katanya di Kuching, semalam.

Malah, Jalil berkata, para pemain kini begitu bersemangat untuk beraksi menentang Kashima Antlers di gelanggang lawan. Katanya, kekalahan 2-4 tempoh hari banyak memberi pengajaran kepada para pemain untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada.

''Saya menaruh keyakinan tinggi bahawa berdasarkan latihan intensif yang dijalani, skuad Bujang Senang mampu memberi tentangan hebat kepada Kashima Antlers.

''Cuma yang menjadi masalah sekarang ialah cuaca sejuk yang mencecah lima darjah Celsius,'' jelasnya.

Skuad Sarawak berlepas ke Jepul awal pagi ini dan akan menghadapi 'seterunya' pada Rabu ini.

Sementara itu, Jalil berkata, beliau masih lagi meneliti kecergasan dan prestasi pemain sebelum menyenaraikan kesebelasan pemain utama yang akan diturunkan di Tokyo nanti.

Menurutnya, Ramles Sari yang tidak diturunkan tempoh hari kerana digantung satu perlawanan kini sudah boleh bermain semula.

''Namun begitu, keadaan tersebut tidak semestinya Ramles boleh diturunkan. Pemain-pemain baru seperti Safri Amit juga telah menunjukkan prestasi cemerlang.

''Saya akan tentukan barisan pemain selepas mereka menjalani latihan terakhir di Tokyo sehari sebelum pertandingan bermula,'' katanya.

Pada keseluruhannya, Jalil berkata, beliau berpuas hati dengan tahap kecergasan dan semangat berpasukan yang ditunjukkan oleh pemain-pemain Bujang Senang.

''Kita harap dapat memberi persembahan yang terbaik di Jepun nanti,'' ujarnya.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0301&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4PuCk3anW

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan