Ahad, 13 November 2016

Jalil sambut baik pelantikan Roslan

ARKIB : 09/02/1999
JURULATIH Sarawak, Abdul Jalil Rambli yakin gandingannya bersama Roslan Ismail mampu mengembalikan sentuhan cemerlang Bujang Senang dalam mengharungi cabaran Liga Malaysia musim ini, lapor ANUAR ARIFFIN.

Malah, Jalil menyifatkan pelantikan Roslan, 30, sebagai penolong jurulatih skuad Bumi Kenyalang adalah tepat dan sesuai pada masanya.

Katanya, berdasarkan pengalaman yang ada pada Roslan, dia dapat membantunya membimbing dan membentuk Sarawak sebuah pasukan yang mampu memberi cabaran membina dalam apa juga pertandingan yang akan dihadapi.

''Saya menyambut baik pelantikan Roslan sebagai penolong jurulatih kepada saya. Beliau adalah seorang pemain berwibawa dan banyak pengalaman.

''Saya tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan Roslan, apatah lagi dia juga mempunyai lesen kejurulatihan kelas C,'' katanya kepada Sukan Utusan di Kuching, semalam.

Roslan, pemain senior yang telah mencurahkan keringat bersama skuad Bujang Senang sejak hampir 18 tahun telah diumumkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak, Datuk Mohd. Taha Ariffin sebagai penolong jurulatih pasukan Bumi Kenyalang musim ini, tiga hari lalu.

Pemain itu kini turut menjalani latihan bersama skuad Sarawak dan khidmatnya masih lagi diperlukan dalam membantu Bujang Senang mempertahankan Juara Sumbangsih yang dijulangnya tahun lalu.

Menurut Rambli, dia pernah bermain bersama Roslan pada 1992 ketika mewakili 'Ngap Sayot' dalam persaingan Liga Malaysia dan ternyata dia seorang pemain yang berkebolehan.

''Saya menaruh keyakinan bahawa kombinasi kami berdua akan dapat membuahkan sesuatu yang berharga kepada pasukan Sarawak,'' ujarnya.

Sementara itu, Jalil berkata, para pemain kini sedang gigih menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi peringkat suku akhir Kejohanan Piala Juara Antara Juara Asia ke-9 pada 20 Februari ini.

Katanya, walaupun padang agak licin dan becak kerana hujan sejak beberapa hari lalu namun para pemain menunjukkan komitmen dan semangat latihan yang tinggi.

''Pemain muda seperti Jeffrey Lana, Mohd. Fadley Kassim, Walter Bat, Mohd. Abang Zafari, Affendi Sugandi, Shamsul Napiah dan Mohd. Safri Amit turut mempamerkan kesungguhan yang menggalakkan,'' ujarnya.

Jalil yakin berdasarkan semangat jitu yang dipamerkan oleh barisan pemain, Sarawak mampu berdepan dengan skuad Kashima Atlers dari Jepun pada pusingan pertama di Stadium Sarawak nanti.

Dalam pada itu, katanya, beliau masih lagi belum memutuskan sistem mana yang akan digunakan oleh pasukan Sarawak musim ini sama ada 4-4-2 atau 3-5-2.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4Psp2PiV0 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan