ARKIB : 27/01/1999
PEMAIN pertahanan, Roslan
Ismail yakin skuad Bujang Senang akan kembali mengukir kecemerlangannya di
bawah jurulatih baru, Abdul Jalil Rambli musim ini.
Katanya, berdasarkan pengalaman
yang luas sebagai pemain dan penolong jurulatih, Jalil, 38, mampu berbuat
sesuatu untuk meletakkan semula Sarawak sebagai pasukan yang disegani dan
dihormati pihak lawan.
Roslan, 35, pemain senior dalam
skuad Bujang Senang berkata, inilah masanya bagi Jalil untuk membuktikan
sentuhan jurulatih tempatan sama hebatnya atau lebih menyerlah lagi daripada
jurulatih import.
''Dengan keseluruhan jentera
skuad Bujang Senang yang terdiri daripada jurulatih dan pemain tempatan, saya
berkeyakinan Sarawak mampu mengharungi setiap cabaran pada kejohanan Liga Malaysia
kali ini.
''Yang penting setiap pemain
perlu memberi sokongan kepadanya (Jalil) dan bermain dengan semangat yang
tinggi untuk memburu kecemerlangan,'' katanya ketika ditemui di Kuching,
semalam.
Sehingga kini, Roslan sudah
menyarung jersi pasukan Bumi Kenyalang selama 18 tahun.
Menurut Roslan, dia dan
pemain-pemain lain tidak mempunyai masalah berhubung corak dan teknik latihan
yang diterapkan oleh Jalil.
Katanya, para pemain mudah
mengikut apa yang dikehendaki olehnya.
Beliau juga tidak menolak corak
latihan yang dilakarkan oleh Jalil agak berbeza dengan bekas jurulatih, Vest.
''Tetapi, mana-mana aspek
latihan yang diajar oleh Vest sebelum ini yang difikirkan baik turut
dipraktikkan oleh Jalil,'' jelasnya.
Sementara itu, Roslan berazam
untuk memperbaiki lagi mutu permainannya dan membantu Sarawak memenangi salah
satu kejuaraan musim ini.
Katanya, persaingan tahun ini
agak mencabar kerana setiap pasukan sudah pasti akan bermain dengan
bersungguh-sungguh dan mempamerkan persembahan terbaik.
''Walaupun laluannya sengit,
tetapi saya yakin Sarawak akan dapat mengharungi setiap cabaran yang dilalui
dan seterusnya dapat menjulang salah satu kejuaraan yang diidamkan,'' ujarnya.
Oleh: ANUAR ARIFFIN SUMBER ARKIB
UM: 27/01/1999
Tiada ulasan:
Catat Ulasan