ARKIB : 04/11/1998
Bujang intai semula tempat ke
separuh akhir
SARAWAK membuka kembali ruang
yang hampir tertutup untuk mengintai tempat ke separuh akhir Bola Sepak Piala
Malaysia apabila menewaskan Perak 2-1 dalam perlawanan kumpulan B di Stadium
Sarawak, Kuching, semalam, lapor KHAIRUDDIN MOHD. AMIN.
Gol Sarawak diperoleh menerusi
Alistair Edwards, minit ke-12 dan Bobby Pian, minit ke-37 manakala gol Perak
disumbat menerusi Gyorgy Takacs pada minit ke-74.
Kedua-dua pasukan yang
memerlukan kemenangan, bermain dengan berhati-hati untuk 10 minit pertama
menyaksikan umpanan yang kurang tepat serta penyudah yang lemah.
Pelawat memberi amaran awal
seawal minit kedua apabila tendangan deras Laszlo Repasi hasil umpanan M.
Nagaraja ditampan oleh penjaga gol Sarawak, Mazlan Wahed.
Gol yang dicari oleh tuan rumah
kunjung tiba pada minit ke-12 apabila Alistair Edwards dikasari oleh Khairul
Annuar Baharum di luar kotak penalti memaksa pengadil S. Selerajan melayangkan
kad kuning kepada pemain itu.
Tendangn percuma pertama untuk
Sarawak itu tidak dipersiakan oleh Alistair yang malakukan tendangan lencong
melepasi benteng skuad Seladang lalu gagal diselamatkan oleh Zamri Mat Mat Arif
walaupun penjaga gol itu sempat melayangkan badannya.
Gol semangat itu membuatkan
anak buah Alan Vest bermain dengan lebih agresif dan dua kad dilayangkan kepada
Billy Bone dan Alistair.
Sarawak terus menguasai
permainan selepas itu dengan melakukan beberapa serangan namun kekebalan
pertahanan Perak menyaksikan asakan skuad Bujang Senang tersasar.
Kerapuhan benteng pertahanan
Perak mula dirasai pada minit ke-33 apabila Ibrahim Mantali membuat larian solo
sebelum merembat kencang dari jarak 35 meter menuju tepat di kanan gol skuad
Seladang namun percubaan itu dinafikan oleh Zamri yang sempat melayangkan
badannya untuk menepis keluar.
Bagaimanapun, kecemerlangan
Zamri cuma bertahan selama empat minit apabila beliau ditewaskan sekali lagi
oleh Bobby Pian.
Gol berpunca daripada tendangan
sudut Billy Bone lalu menuju ke arah Ibrahim Mantali yang melepaskan tendangan
kencang menggegarkan palang gol lalu melantun kepada Billy Bone.
Pemain itu kemudiannya
melorongkan bola ke arah tengah kawasan penalti sebelum ditanduk masuk oleh
Bobby Pian bagi membolehkan 3,000 penonton bersorak gembira untuk kali kedua.
Perak yang tertekan dengan
ketinggalan dua gol mula memperkemaskan jentera serangannya pada babak kedua
untuk melakukan serangan manakala Sarawak mula memperlahankan rentak permainan.
Kealpaan pertahanan Sarawak
membawa padah apabila pemain gantian Gyorgy Takacs yang menggantikan Repasi
merembat kencang dari jarak dekat menewaskan Mazlan Wahid setelah menerima
hantaran dari sebelah kiri pada minit ke-74.
Perak yang bertali arus
mengatur serangan hampir menyamakan kedudukan lima mint selepas itu apabila
sepakan kencang bekas pemain skuad Olimpik 2000, V. Savaranan didakap kemas
oleh Mazlan Wahid.
Permainan bertambah rancak
selepas itu sehigga wisel penamat ditiup.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4PDPFf0wb
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan