Sabtu, 18 Mac 2017

Lima pemain bola sepak Sarawak dibebaskan

ARKIB : 28/06/2001
LIMA pemain bola sepak Sarawak yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah minggu lepas dibebaskan semalam selepas disahkan bukan penagih dadah.

Ketua Jabatan Narkotik Negeri, Supritendan Awang Bujang Awang Antek berkata kesemua mereka dibebaskan kira-kira pukul 3.30 petang, semalam.

``Saya mengesahkan bahawa berdasarkan laporan yang diterima, kelima-lima pemain itu bukan penagih dadah,'' katanya di Kuching semasa dihubungi Bernama, semalam.

Awang Bujang yang enggan mengulas lanjut berkata keputusan ujian air kencing menunjukkan kelima-lima pemain itu bukan penagih.

Beliau berkata terpulang kepada Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) untuk memutuskan nasib kelima-lima pemain itu - Nazri Yunus, Samsul Napiah, Safri Amit, Abang Zafari Othman dan Firdaus Ishak - yang merupakan pemain utama pasukan negeri dalam Liga Perdana Satu yang berlangsung sekarang.

Mengikut undang-undang, jika seseorang itu disahkan penagih dadah, mahkamah boleh memutuskan sama ada untuk menghantarnya ke pusat pemulihan atau menempatkannya di bawah pengawasan polis bagi satu tempoh yang ditetapkan.

Lima pemain itu yang berada bersama empat lagi orang yang tidak dikenali, telah diberkas daripada dua buah rumah di Matang Jaya, pada 22 Jun hasil maklumat orang ramai.

Sementara itu Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) melahirkan rasa terkejut dan bimbang terhadap penahanan lima pemain Sarawak itu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Peter Velappan berkata, penahanan itu bukan sahaja mencemarkan bola sepak Sarawak tetapi juga Malaysia.

Beliau berkata dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur semalam juga berkata: ``Perkara itu telah mendapat perhatian media dan ini merupakan kali pertama kejadian di mana begitu ramai (lima pemain) di tahan kerana dadah.''

``Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang dilihat amat berjaya menangani isu rasuah bola sepak sebelum ini, perlu melihat satu fenomena baru untuk menyelesaikan gejala dadah dalam bola sepak,'' ujarnya.

Kata Vellapan, kami tidak tahu bagaimana seriusnya perkara itu di Malaysia, tetapi sekurang-kurangnya ia membuka mata FAM untuk menjalankan ujian air kencing lebih kerap ke atas pemain.

Sehubungan itu AFC akan meminta FAM untuk mengemukakan laporan berhubung penahanan lima pemain oleh pihak polis serta tindakan susulan yang telah diambil untuk mengatasi gejala dadah ini.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0628&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bfmPCUe8

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan