ARKIB : 27/09/2000
SARAWAK yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain dalam tempoh 20 minit
terakhir mencatat kemenangan 2-0 ke atas Melaka pada perlawanan suku akhir
kedua bola sepak Piala Malaysia di Stadium KLFA, Cheras, semalam.
Dengan kemenangan itu, Sarawak layak ke separuh akhir menerusi agregat 4-1.
Penyerang, Ramles Sari dibuang padang pada minit ke-70 kerana menyiku Hardi
Jaafar ketika Sarawak mendahului 1-0 menerusi jaringan Zulkarnaen Mohd. Poasa
(58), tetapi Bobby Pian menggandakan jaringan pada minit ke-79.
Ramles tidak akan beraksi dalam perlawanan antara Sarawak dengan Negeri
Sembilan pada separuh akhir pertama, Selasa depan.
Melaka hanya menguasai babak pertama dengan rangkaian serangan berbahaya,
membuat sekurang-kurangnya lima percubaan ke gawang Sarawak dalam usaha memburu
jaringan penyamaan agregat, namun Sarawak yang berbekalkan kemenangan 2-1 di
Kuching, Sabtu lalu, bangkit pada babak kedua untuk mengimbangi semula rentak
permainan.
Peluang terbaik Melaka untuk membuka jaringan hadir menerusi percubaan K.
Rajan pada minit ke-32 yang hanya berdepan dengan Mazlan Wahid selepas hantaran
silang rendah Rashid Mamud, tetapi percubaan Rajan terkena kaki Mazlan.
Sebelum itu, Hardi Jaafar melencongkan bola sepakan percumanya terus ke
gawang, tetapi Mazlan pantas menguis bola untuk menyelamatkan pintu golnya
ketika penjaga gol itu tidak berada pada posisi yang betul.
Namun, Sarawak bangkit pada babak kedua menyusun gerakan dan menguasai pula
permainan dan Bujang Senang akhirnya menemui sentuhan penyudah pada minit ke-58
berpunca daripada sepakan sudut Gilbert Cassidy Gawing.
Bola sepakan Gilbert jauh ke belakang ,tetapi Nazri Yunus berjaya
merampasnya untuk menyilangkan kembali ke tengah dan Zulkarnaen yang tidak
dikawal menanduk masuk jaringan menewaskan Ariffin Yunus.
Perlawanan menjadi agak tegang selepas gol pembukaan itu sehingga Ramles
diperintah keluar padang oleh pengadil, Subkhiddin Salleh selepas pemain itu
menyiku Hardi ketika berlaku pergelutan di kawasan tengah padang.
Penyerang kebangsaan, Bobby hanya menunggu sembilan minit selepas dibawa
masuk untuk menjaringkan gol kedua Sarawak hasil sepakan bebas Gilbert pada
minit ke-79.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0927&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4b1eUK5mg
© Utusan Melayu (M) Bhd
ARKIB : 27/09/2000
NS kekalkan rekod tanpa kalah
NEGERI Sembilan mengekalkan rekod tanpa kalah untuk melangkah ke separuh
akhir Piala Malaysia penuh bergaya selepas mengumpul agregat selesa 7-1 ke atas
tuan rumah, Kelantan pada perlawanan yang tercemar akibat aksi liar penonton di
Stadium Sultan Mohd. Ke-IV, Kota Bharu, semalam.
Pasukan pelawat yang bertandang ke Kota Bharu berbekalkan keputusan selesa
4-1 pada suku akhir pertama, memberi aksi terbaik untuk menambah penguasaan
dengan kemenangan 3-0.
Begitupun, aksi penonton yang membalingkan mercun, serta layangan kad merah
oleh pengadil kepada dua pemain Kelantan, Roslisham Mohd. Noor dan Akmal Hisham
Tabarani mencemarkan suasana perlawanan.
Negeri Sembilan membuka tirai jaringan seawal minit ke-37 menerusi
penyerang berbisa, Azman Adnan akibat kesilapan penjaga gol Kelantan, Mohd.
Shahrizan Ismail yang melakukan sepakan ke dalam kurang kemas untuk dirampas
Azman.
Begitupun, Azman kemudian dikasari oleh Roslisham yang dibuang pada minit
ke-44.
Sebaik babak kedua bermula, pasukan pelawat menggandakan serangan dan Mohd.
Shukor Adan menceriakan Negeri Sembilan dengan gol kedua pada minit ke-48.
Affendi Malek memastikan kemaraan Negeri Sembilan ke separuh akhir dengan
melengkapkan kemenangan 3-0, seminit sebelum tamat perlawanan.
Negeri Sembilan akan bertemu Sarawak pada separuh akhir pertama di Kuching,
Selasa ini.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0927&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4b1emesWN
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan