ARKIB : 03/06/2003
SARAWAK yakin dapat mengutip mata
penuh dalam perlawanan liga bola sepak Perdana Satu menentang pendahulu liga,
Perak malam ini meskipun kehilangan dua pemain utama kerana kad kuning.
Jurulatih Sarawak, Abdul Jalil
Rambli berkata, untuk perlawanan ini Sarawak tidak dapat menurunkan dua pemain
pertahanan, Irwandy Jempaka dan ketua pasukan Bobby Chua kerana mereka
digantung satu perlawanan selepas menerima kad kuning ketiga dalam perlawanan
menentang Sabah, 24 Mei lalu.
``Ini perlawanan penting dan kita
yakin tidak mustahil untuk menewaskan Perak berdasarkan prestasi sekarang,''
katanya kepada di Kuching semalam.
Abdul Jalil berkata, Sarawak
menganggap perlawanan dengan Perak itu penting memandangkan ia akan memberi
semangat kepada pemain bagi perlawanan seterusnya jika berjaya mengalahkan
juara bertahan liga Perdana Satu itu.
``Kita juga mahu merapatkan
jurang perbezaan mata antara Perak yang kini berbeza lima mata saja,'' katanya.
Beliau berkata, keyakinan tinggi
itu berdasarkan rekod tanpa kalah di gelanggang sendiri di dalam pertandingan
liga Perdana Satu musim ini dan Piala FA.
Gandingan berbisa penyerang
import Robert Eshun dan Sapian Wahed yang kini masing-masing menjaringkan 10 gol,
antara penjaring gol terbanyak dalam liga Perdana Satu, juga diyakini mampu
membantu Sarawak mencapai mata penuh.
Perak kini memiliki 29 mata
selepas menang lapan, lima seri dan hanya sekali tewas manakala Sarawak
menduduki tempat ketiga dengan 24 mata apabila menang tujuh, seri tiga dan
empat tewas.
Pada perlawanan pusingan pertama
pada 22 Feb lalu di Stadium Perak di Ipoh, Perak menewaskan Sarawak 4-2. -
Bernama
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0603&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4cxtLmqr2
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan