Jumaat, 17 Mac 2017

Sarawak, Sabah cerah ke akhir

ARKIB : 05/06/2001
Oleh JOHARI SHAWAL
MUNGKINKAH dua pasukan dari Borneo, Sarawak dan Sabah akan berentap sesama sendiri di pentas akhir Piala FA musim ini, sekali gus melakar sejarah baru dalam bola sepak Liga Malaysia?

Atau pasukan berstatus kelab, JKR Kelantan meneruskan kejutan mencatat nama sebagai kelab pertama melangkah ke akhir?

Atau mungkinkah Selangor masih kebal selaku pasukan lebih layak beraksi di pentas idaman itu?

Segalanya bakal dijawab sebaik tamat aksi separuh akhir kedua, malam ini.

Sejak Piala FA dipertandingkan pada 1990, belum ada dua pasukan dari Borneo bertarung sesama sendiri pada perlawanan akhir - walaupun Sabah dan Sarawak pernah muncul di peringkat itu beberapa kali.

Sarawak dan Sabah bukan pendatang baru di pentas akhir Piala FA ini. Bujang Senang beraksi kali pertama pada 1992 dan muncul juara menewaskan Kuala Lumpur 2-1.

Mereka sekali lagi melangkah ke akhir empat tahun kemudian tetapi tewas kepada Kedah.

Sabah pula sudah merasai suasana akhir empat kali termasuk tiga kali berturut-turut pada 1993, 1994 dan 1995.

Selepas tewas kepada Kuala Lumpur dalam dua perlawanan akhir pertama (1993/1994), Sabah akhirnya muncul juara pada 1995 menewaskan Pahang. Mereka sekali lagi muncul di akhir pada 1998 tetapi tewas kepada Johor.

Tetapi Selangor lebih dihormati pada pentas Piala Malaysia dengan menjulangnya sebanyak 28 kali. Di pentas Piala FA, Selangor merampasnya dua kali pada 1991 dan 1997.

Dan mungkinkah idaman JKR Kelantan untuk mencipta kejutan terbesar - menjadi kelab pertama beraksi pada perlawanan akhir Piala FA akan tertunai?

Malam ini, percaturan terbaik pasti dibuat kedua-dua pasukan untuk memelihara kelebihan masing-masing.

Skuad Bujang Senang pimpinan Jalil Rambli berdepan tugas paling mencabar sepanjang kariernya.

Jurulatih itu perlu memastikan kemenangan di Kuching untuk mengelak ditimpa aib daripada kelab Perdana Dua bimbingan Abdullah Mohamed itu.

Segala persiapan sudah diatur Sarawak termasuk tidak membenarkan kaum keluarga mendekati para pemain menjelang perlawanan penting itu.

Mereka juga ``dikuarantin'' dalam usaha memberi perhatian paling maksimum terhadap perlawanan.

Semuanya gara-gara kehebatan JKR Kelantan. Keputusan di Kota Bharu itu jelas menceritakan kegagahan kelab dari Pantai Timur itu.

Sarawak, pasukan dari Perdana Satu ketinggalan tiga kali sebelum berjaya mengikat kedudukan 4-4.

Nyata jentera serangan JKR Kelantan tidak pernah tumpul dan tonggaknya, Che Hishamuddin Hassan sudah pun berikrar akan mengganas di Kuching.

Sabah, pasukan yang kukuh di tangga kedua Perdana Dua, nyata bakal memberi masalah kepada Selangor.

Kemenangan 1-0 di Penampang, walaupun begitu tipis, menjadi azimat untuk mencipta kejayaan di Shah Alam apalagi dengan sentuhan Suharmin Yusof, Rizal Sukiman dan Shahrin Majid yang sentiasa menjadi.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0605&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4be2IeBed

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan