ARKIB : 21/05/2003
SARAWAK menebus kecewa gagal ke
perlawanan akhir bola sepak Piala FA minggu lalu apabila membelasah Pahang 5-1
dalam aksi Liga Perdana Satu di Stadium Sarawak, semalam.
Kemenangan itu turut memperbaiki
kedudukan Bujang Senang dalam liga, berkongsi 24 mata dengan Kedah dan Perlis
tetapi Kedah di tempat kedua atas perbezaan jaringan.
Perlis yang mengecewakan Sarawak
dalam Piala FA, di tangga keempat tetapi Singa Utara tidak bermain semalam.
Dalam aksi di Kuching, penyerang
tuan rumah, Sapian Wahid dan pemain import, Robert Eshun masing-masing
menjaringkan dua gol dan satu lagi gol disumbangkan oleh Bobby Pian.
Sarawak mendahului 3-0 pada babak
pertama dengan Sapian membuka jaringan pada minit ke-10 sebelum Bobby
menggandakan jaringan enam minit kemudian.
Eshun meletakkan Sarawak lebih
selesa sebelum waktu rehat dengan gol ketiga minit ke-22.
Sapian sekali lagi menemui
sentuhan jaringan pada minit ke-58 untuk gol keempat Sarawak dan Eshun tambah
menceriakan barisan Ramli Jalil dengan gol kelima minit ke-60.
Pahang mendapat gol saguhati pada
minit terakhir perlawanan menerusi Hairuddin Omar.
Pendahulu liga, Perak gagal
melebarkan penguasaan apabila sekadar mengutip satu mata selepas perlawanan
dengan Kedah di Stadium Darulaman, Alor Star berkesudahan seri tanpa jaringan.
Perak masih di tangga teratas
dengan 28 mata selepas 13 perlawanan, empat mata di depan Kedah.
Selangor tewas buat kali keenam
dalam liga, kali ini tunduk kepada Pulau Pinang 2-1 di Stadium Shah Alam.
Pasukan pelawat mendahului 2-0
hasil jaringan Wan Rohaimi Ismail pada minit ke-42 dan Gustavo Romero (69).
Mass Sarr Jr. menjaringkan gol tunggal Selangor minit ke-79.
Pulau Pinang melonjak ke tangga
kelima dengan 20 mata tetapi Selangor tergelincir satu tangga di bawah di
tempat ke-10.
Johor FC memenangi pertarungan
antara dua pasukan terbawah liga apabila mengatasi Melaka 4-1 di Stadium Hang
Tuah.
Jonathan Ben Angelucci
menjaringkan dua gol untuk Johor FC pada minit ketiga dan 90 manakala dua gol
lagi disumbangkan oleh Azmi Mohamed (10) dan Hairy Azly Mohamad (27).
Halim Jantan menjaringkan gol
tunggal Melaka pada minit ke-25.
Begitupun, Johor FC kekal di
tangga ke-11 liga dengan 13 mata manakala Melaka di tangga kedua terbawah
dengan lapan mata.
Terengganu terus menghuni tangga
terbawah biarpun seri 2-2 dengan Kelantan di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota
Bharu.
Gol-gol Kelantan dijaringkan oleh
Badrul Afzan Razali mint ke-37 (penalti) dan Adamec Martin (90) manakala dua
gol Terengganu dihasilkan oleh Ahmad Tahrin Yusuf (28 dan 38).
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0521&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cvAeSYmd
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan