Ahad, 12 Mac 2017

Halim, Muthu bakal perkuat jentera Sarawak

ARKIB : 25/11/2000
DUA pemain import tempatan bakal memperkuatkan jentera pasukan naib juara Piala Malaysia 1999, Sarawak dalam saingan bola sepak Liga Perdana 2001.

Penyerang Terengganu, Halim Jantan dan pemain tengah Kuala Lumpur, G. Muthu sudah mengesahkan persetujuan mereka untuk bermain dengan skuad Bujang Senang musim depan.

Bagaimanapun, kedudukan mereka dalam kesebelasan pemain utama Sarawak akan ditentukan berdasarkan prestasi yang ditunjukkan semasa menjalani latihan pusat yang akan diadakan awal tahun depan.

''Halim dan Muthu sudah menyatakan persetujuan untuk bermain dengan Sarawak tahun depan.

''Namun begitu, surat kontrak untuk bermain dengan Bujang Senang masih belum ditandatangani lagi,'' katanya ketika dihubungi di Kuching, semalam.

Menurut Jalil, langkah mengambil dua pemain import itu bertujuan untuk memantapkan lagi cabaran skuad Bumi Kenyalang bagi mengharungi kancah liga perdana musim depan.

Jelas beliau, kehadiran Halim dan Muthu diharap dapat memperkuatkan jentera pasukan khususnya di posisi tengah dan serangan.

''Saya yakin kehadiran mereka akan dapat membantu Sarawak mencapai kejayaan yang diharapkan terutama menjulang salah satu piala rebutan khususnya Piala Malaysia,'' ujarnya.

Jalil berkata, kedudukan pemain sedia ada terutama di barisan hadapan seperti Ramos Sari, Ramles Sari, Bobby Pian dan Zulkarnean Posa tidak akan terjejas berikutan kehadiran dua pemain import tersebut.

Malah, tegasnya, keadaan itu merupakan satu fenomena yang sihat kerana mereka dapat bergaul bersama dan memberi komitmen jitu bagi kebaikan skuad Bujang Senang.

''Ini akan menjadi saingan yang baik di kalangan pemain untuk membuktikan keupayaan sebenar mereka selain memastikan Bujang Senang dapat menuai kejayaan demi kejayaan yang dihasratkan,'' katanya.

Kepada satu soalan, Jalil berkata, Sarawak akan berusaha tanpa mengenal jemu dalam perjuangan memburu Piala Malaysia musim depan.

Menurutnya, setakat ini hasrat untuk merangkul piala sanjungan itu belum lagi kesampaian meskipun nikmat menjulang gelaran juara Piala Liga dan Piala FA sudah dirasai.

''Kali ini kita akan membuat persediaan yang lebih rapi dan tersusun. Insya-Allah, dengan berkat kesungguhan dan kesabaran pemain, kejayaan yang diidamkan mampu digapai,'' ujarnya.

Kesempatan terbaik Sarawak untuk menjulang Piala Malaysia menjelma tahun lalu tetapi hajat tersebut berkubur selepas ditewaskan Brunei 1-2 pada perlawanan akhir di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Menurut Jalil, para pemain kini sedang bercuti dan akan mula menjalani latihan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Sarawak gagal melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini selepas kalah kepada Negeri Sembilan pada peringkat separuh akhir.

Oleh: ANUAR ARIFFIN

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4b79joze7 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan