Khamis, 6 April 2017

Sarawak perkukuhkan kedudukan



 ARKIB : 03/09/2003
SARAWAK mengukuhkan kedudukan untuk merebut satu slot ke suku akhir dari Kumpulan B bola sepak Piala Malaysia selepas mengatasi Negeri Sembilan 3-1 di Stadium Hang Tuah, Melaka, semalam, lapor MOHD. NIZAM HAMID.

Hadir selaku pasukan pelawat, skuad Bujang Senang kini agak selesa dengan sembilan mata selepas lima perlawanan, sekali gus memintas pendahulu sebelumnya, Perlis yang mengumpul lapan mata.

Perlis turun untuk perlawanan kelimanya malam ini menentang Telekom Melaka juga di Stadium Hang Tuah.

Tonggak import Sarawak, Robert Eshun menggegarkan jaring Negeri Sembilan dua kali pada minit ke-18 dan 64. Satu lagi gol dijaringkan oleh Sapian Wahid minit ke-31.

Jaringan pembukaan Eshun dihasilkan menerusi rembatan leret setelah menerima bola hantaran Ramles Sari yang gagal dikekang penjaga gol Negeri Sembilan, Mohamad Suffian.

Bagaimanapun, Suharmin Yusof memadamkan jaringan Eshun tiga minit kemudian.

Bekas pemain kebangsaan itu mengambil kesempatan ketika perebutan di depan gawang Sarawak dengan menyepak leret dari jarak dekat.

Sapian bagaimanapun kembali menceriakan kem Sarawak apabila sentuhannya hasil gerakan satu dua dengan Ramos Sari berjaya memperdayakan Suffian untuk gol kedua pasukannya.

Eshun menambah selesa dengan gol ketiga pada minit ke-64 untuk Sarawak mencatat kemenangan kedua dan pulang gembira ke Kuching.

Negeri Sembilan tewas buat kali ketiga dalam kempen ini dan berada di tangga ketiga dengan empat mata.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0903&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4dTiSrQ7d
© Utusan Melayu (M) Bhdsumber

Tiada ulasan:

Catat Ulasan