Sabtu, 5 November 2016

Sarawak mahu langsai dendam dengan Brunei

ARKIB : 19/10/1998
SARAWAK mahu melangsaikan dendam apabila bertemu Brunei pada pusingan kedua bola sepak Piala Malaysia bagi kumpulan B di Stadium Sarawak, Petra Jaya, malam esok.

ANUAR ARIFFIN melaporkan, kejayaan mengalahkan naib juara liga, Pahang 3-1 di gelanggang sendiri kelmarin jelas menggambarkan kebangkitan semula Bujang Senang ketika cabaran memasuki pusingan kedua bermula minggu depan.

Kemenangan sulung selepas melalui empat pertemuan yang dilakarkan di hadapan kira-kira 8,000 penonton seakan-akan menyuntik semangat berkobar-kobar bagi pemain-pemain Bumi Kenyalang untuk menebus kekecewaan yang dialami di Bandar Seri Begawan beberapa minggu lalu.

Pada pusingan pertama, Sarawak, selaku juara Sumbangsih tewas 2-3 kepada Brunei yang kini menduduki tangga kedua dalam kumpulan B dengan mengumpul tujuh mata.

Biarpun perlawanan kedua-dua pasukan diawalkan empat hari yang sepatutnya dilangsungkan Sabtu depan, namun ia tidak menjadi halangan buat anak-anak buah Alan Vest untuk memburu kemenangan kedua.

Apatah lagi kekalahan Brunei 1-2 kepada Perak, kelmarin mungkin memberi ruang kepada pasukan tuan rumah mengambil kesempatan 'menyugulkan' lagi skuad pimpinan Ronald Smith itu.

Namun begitu, Sarawak, bekas juara liga, tidak harus leka dibuai kemenangan ke atas Pahang sebaliknya terus memantapkan lagi kejituan jentera di segenap posisi.

Ini kerana, Brunei bukan calang-calang pasukan yang mudah untuk ditundukkan dan kecemerlangan yang ditunjukkan sepanjang cabaran liga dan Piala Malaysia seharusnya dihormati.

Justeru, pertembungan dua jiran Kepulauan Borneo itu malam esok bakal menjanjikan persaingan menarik kerana kedua-dua pasukan sudah tentu mempunyai misi yang tersendiri.

Dan, berdasarkan perlawanan menentang skuad Tok Gajah kelmarin, pemain-pemain Sarawak telah menunjukkan semangat perjuangan yang dikehendaki.

Tiga jaringan yang dicipta melalui Billy Bone, Ali Sapiee dan Alistair Edwards dalam tempoh 45 minit perlawanan pertama sudah cukup meletakkan Bujang Senang kembali bernafas dalam percaturan memburu tempat ke separuh akhir Piala Malaysia.

Biarpun memperoleh tambahan tiga mata dan mengumpul keseluruhan lima mata setakat ini namun kedudukan Sarawak tidak berubah di tangga keempat kumpulan B.

Sepanjang perlawanan, skuad Kenyalang memperoleh empat tendangan sudut berbanding enam yang dimiliki pasukan pelawat, namun tiada sebarang jaringan dicipta melalui peluang tersebut.

Sementara itu, Vest berkata, kemenangan ke atas skuad Tok Gajah sudah pasti menyemarakkan lagi semangat pemain-pemain Sarawak apabila berdepan dengan Brunei, malam esok.

''Saya gembira dengan kejayaan ini dan berharap pemain-pemain akan berjuang bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kemenangan seterusnya,'' katanya di Kuching, semalam.

Menurutnya, beliau yakin Bujang Senang boleh memenangi perlawanan malam esok sekiranya barisan pemain mengekalkan corak permainan seperti yang ditunjukkan ketika menewaskan Pahang, kelmarin.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1019&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4P7gsHztW © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan