ARKIB : 19/02/1999
PEMAIN baru, Mohd. Fadly Kassim
sudah bersedia untuk memikul cabaran sekiranya terpilih dalam kesebelasan utama
skuad Sarawak dalam menghadapi persaingan bola sepak Divisyen Satu, Liga
Malaysia musim ini, lapor ANUAR ARIFFIN.
Biarpun kedudukannya belum
pasti dan masih dalam peringkat latihan, tetapi anak muda kelahiran Kampung
Riam, Miri ini tetap bersemangat untuk membantu Bujang Senang memenangi salah satu
kejuaraan tahun ini.
Fadly, 22, berkata, dia sedar
persaingan untuk merebut tempat dalam pasukan utama adalah sengit dan mencabar.
Katanya, ini kerana masih lagi
ramai pemain senior yang lebih berwibawa yang boleh disandarkan harapan bagi
kejayaan Sarawak musim ini.
''Namun begitu, saya akan terus
berusaha untuk menunjukkan prestasi terbaik dan persembahan yang menyakinkan
jurulatih, Abdul Jalil Rambli untuk saya diserapkan dalam kesebelasan pemain
utama.
''Jika peluang ini diberi
kepada saya, saya akan berusaha menfaatkannya sebaik mungkin demi kecemerlangan
skuad Bujang Senang,'' katanya kepada Sukan Utusan ketika ditemui selepas
menjalani latihan di Stadium Negeri, Petra Jaya, semalam.
Ketrampilan Fadly kini sudah
mula berbunga apabila dia menjaringkan salah satu gol daripada kemenangan
pasukan Sarawak 3-0 ke atas kelab Ibraco FC pada perlawanan persahabatan
baru-baru ini.
Menurut Fadly, setakat ini dia
sedang menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi pasukan Kashima Antlers
dari Jepun dalam pusingan suku akhir pertama Kejohanan Piala Juara Antara Juara
Asia ke-9 di Stadium Sarawak, Sabtu ini.
Anak keempat dari lima beradik
itu berkata, dia sedia menyambut cabaran sekiranya diturunkan pada pertemuan
tersebut.
''Berbekalkan latihan yang dijalani
dan pengalaman yang ada, saya yakin dapat menyumbang sesuatu untuk kejayaan
Sarawak,'' jelasnya.
Sebelum ini, Fadly pernah
mewakili Sarawak dalam pertandingan bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) pada 1996
dan 1998, Piala Presiden (1996 dan 1998) dan Piala Sarawak (1996 dan 1998).
Mengenai latihan bersama pemain
senior, Fadly berkata, dia tidak menghadapi sebarang masalah malah sentiasa
mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada mereka.
''Saya juga tidak mengalami
kesukaran di bawah kendalian jurulatih, Jalil.
''Kita menjalani latihan dalam
semangat berpasukan yang kental dan bersatu matlamat untuk membawa
kecemerlangan bagi Bujang Senang,'' ujarnya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4PtX5VqwM
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan