ARKIB : 03/03/1999
SARAWAK dijangka akan
menampilkan gandingan Ramles Sari dan Mohd. Safri Amit pada perlawanan suku akhir
kedua bola sepak Piala Juara Antara Juara Asia ke-9 menentang kelab Kashima
Antlers di Tokyo, Jepun, hari ini, lapor ANUAR ARIFFIN.
Walaupun kemantapan gandingan
itu belum diuji namun jurulatih, Abdul Jalil Rambli mempunyai percaturan berani
untuk mencuba kombinasi kedua-dua pemain tersebut di barisan hadapan.
Menurut Jalil, dia mahu mencuba
meletakkan Ramles, 30, dan Safri, 20, di bahagian serangan berdasarkan
kedua-duanya memiliki ciri-ciri pemain penyerang yang dikehendaki dan mempunyai
larian yang pantas.
Kecemerlangan Safri, bintang
baru kelahiran Sarikei, terserlah apabila dia menjaringkan gol kedua Sarawak
pada perlawanan pertama tempoh hari melalui satu gerakan solo selepas babak
kedua perlawanan disambung semula.
Pada perlawanan pertama di Stadium
Sarawak, 20 Februari lalu, posisi di bahagian serangan disandarkan kepada Safri
dan Bobby Pian.
Malah Jalil sendiri mengakui
gandingan kedua-dua pemain itu (Bobby dan Safri) begitu secocok dan berkesan
dalam tugas menggempur benteng pertahanan lawan.
''Walaupun gandingan Bobby -
Safri telah membuktikan kemampuan mereka, tetapi saya mahu cuba meletakkan
Safri berganding dengan Ramles,'' katanya sebelum berlepas ke Jepun, awal pagi
semalam.
Jalil berkata, tidak ada
perubahan yang berlaku ke atas skuad Bujang Senang kecuali tempat Bobby Chua
yang dilayangkan kad merah akan diisi oleh Ramles.
Beliau berkata, walaupun
menghadapi tugas rumit termasuk keadaan cuaca yang sejuk tetapi para pemain
akan tetap bersemangat untuk persembahan yang terbaik.
Menurut Jalil, meskipun pasukan
lawan membariskan pemain-pemain ternama dan Sarawak tumpas 2-4 pada perlawanan
pertama tetapi semangat juang 'Ngap Sayot' terus membara.
Kashima Antlers yang beraksi
dalam Liga-J bukan calang pasukan yang boleh ditundukkan apatah lagi mereka
mempunyai khidmat 'trio' Brazil iaitu Bismarck Barreto, Walemar Aureliano dan
Ricardo Cavalcante.
Selain itu, pasukan bimbingan
bintang Piala Dunia Brazil, Zico turut membariskan pemain-pemain Piala Dunia
1998 Jepun seperti Akira Narahashi, Yutaka Akita dan Naoki Soma.
Pada perlawanan pertama, empat
gol Kashima Antlers dijaringkan oleh Yutaka Akita (m42, m49), Naruyuki Naito
(m60) dan Toshiyuki Abe (m80). Sementara dua jaringan Sarawak menerusi Nazri
Yunos (m12) dan Safri Amit (m46).
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0303&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4Q4ZvpXD5
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan