Isnin, 19 Disember 2016

Bobby pamer keunggulan

ARKIB : 13/04/2000
PERCATURAN Sarawak menurunkan Bobby Pian pada perlawanan menentang Kedah kelmarin, tidak sia-sia dan ternyata membawa tuah kepada skuad Bujang Senang apabila menewaskan skuad Kenari 2-1.

Penyerang kebangsaan itu ternyata telah dapat membuktikan keunggulannya dan tidak menghampakan skuad Bujang Senang meskipun dia hanya diturunkan pada babak kedua perlawanan pertama suku akhir Piala FA itu.

Walaupun diletakkan di bangku pemain simpanan apabila tiba 10 minit selepas aksi bermula, namun Bobby yang baru balik dari Bangkok itu, langsung tidak menghampakan apabila menyumbat gol kemenangan pada minit terakhir untuk Bujang Senang.

Kemampuan Bobby diakui sendiri jurulatih Bujang Senang, Jalil Ramli, semasa mengulas kemenangan kelmarin kepada Sukan Utusan di Kuching, semalam.

''Bobby bukan sahaja mampu menyelamatkan maruah Bujang Senang, malah percaturan kita kena pada tempatnya, dia tidak mengecewakan meskipun diturunkan pada separuh masa kedua.

''Dia telah dapat menyuntik semangat kepada Bujang Senang setelah skuad kita gagal terjemahkan banyak peluang malam tadi (kelmarin),'' katanya.

Bobby yang baru pulang bersama skuad kebangsaan dari Bangkok dimasukkan pertengahan babak kedua bagi menggantikan Affendi Julaihi.

Jalil mengakui permainan malam tadi agak kurang konsisten setelah barisan penyerang gagal menterjemahkan banyak peluang keemasan terutama semasa perlawanan babak kedua.

''Sebenarnya kita mempunyai banyak peluang (malam tadi), persembahan kita kurang memberangsangkan, namun nasib masih menyebelahi kita apabila berjaya menumpaskan Kedah,'' katanya.

Ditanya kenapa Bobby diturunkan pada babak kedua perlawanan, Jalil berkata, beliau mahukan kesebelasan utama menunjukkan aksi terlebih dahulu pada perlawanan itu.

''Bukan tidak mahu menurunkannya (Bobby), tetapi saya nak lihat aksi kesebelasan utama terlebih dahulu,'' katanya sambil tidak menolak kemungkinan Bobby akan diletakkan dalam kesebelasan utama skuad itu, selepas ini.

Jalil berkata, inilah kali pertama Bobby beraksi untuk skuad Bujang Senang selepas terus menyarung jersi skuad kebangsaan sebelum ini.

''Bobby belum pernah menjalani latihan dengan skuad ini, kita lihat corak persembahannya dan tidak akan menghampakan beliau sekiranya dia terus mempamerkan aksi yang menarik,'' katanya.

Ditanya peluang skuad Bujang Senang pada perlawanan kedua dengan Kedah di Alor Setar pada 25 April ini, beliau berkata:

''Masanya masih panjang lagi, kita akan bertemu Sabah, Kuala Lumpur dan Brunei terlebih dahulu sebelum berdepan dengan Kedah.

''Apapun kita yakin pertemuan 25 April ini akan terus memihak kepada kita meskipun tidak berlawan di tempat sendiri,'' tambahnya.

Oleh: ABDUL HAMID MOHAMAD

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0413&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4TGs441SI © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan