PEMAIN Sarawak meraikan
kejayaan menewaskan PKNS.
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
Shah Alam: Jurulatih Sarawak
David Usup mengharapkan kejayaan menewaskan PKNS FC 3-2 pada aksi Liga Super di
Stadium Shah Alam semalam menjadi titik kebangkitan mereka untuk terus bersaing
musim ini.
Tiga mata itu membolehkan
Sarawak menjarakkan diri daripada zon penyingkiran dengan mengumpul tujuh mata
selepas enam perlawanan.
Namun, bagi David apa yang
beliau harapkan agar momentum daripada kemenangan kedua itu dapat diteruskan
apabila berdepan Johor Darul Ta’zim (JDTII) Selasa ini.
“Kami lebih banyak menguasai
bola, pemain-pemain juga mempamer semangat juang tinggi sehingga tamat
permainan. Kita tahu rekod PKNS yang banyak menjaringkan gol tapi pada masa
sama mereka juga boleh dibolosi.
“Dua perlawanan terakhir kami
kalah walaupun mempamerkan permainan baik, jadi kali ini pemain lebih fokus.
Saya berharap pemain dapat memanfaatkan setiap peluang yang ada terutama
apabila kami berdepan JDTII selepas ini,” katanya pada sidang media selepas
perlawanan semalam.
Dalam aksi pada sebelah petang
itu, Sarawak mendahului menerusi jaringan Mateo Roskam di minit ke-18.
Bagaimanapun pasukan tuan rumah berjaya mengikat kedudukan hasil rembatan Lucas
Espindola di minit ke-55.
Pemain perancang pelawat Mark
Hartmann kembali meletakkan pasukan di depan menerusi rembatan jarak jauh pada
minit ke-60 sebelum Mohamad Hafiz Abu Bakar menambah gol ketiga, tiga minit
kemudian.
PKNS FC kendalian E Elavarasan
cuba bangkit namun sudah terlewat meskipun mendapat gol kedua hasil jaringan
Mohd Khairul Ramadan pada masa kecederaan.
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Ahad, 26 Februari 2017 @ 5:37 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan