Jumaat, 2 Disember 2016

Sarawak sekat hajat besar Perak

ARKIB : 05/05/1999
HAJAT Perak memburu gelaran bola sepak Piala FA musim ini tidak kesampaian apabila disekat Sarawak dalam pusingan kedua perlawanan kedua menerusi kemenangan agregat 2-1 selepas aksi semalam berkesudahan seri 1-1 di Stadium Perak, Ipoh.

Berbekalkan kemenangan 1-0 di Kuching, minggu lalu, Sarawak ternyata bijak mengawal permainan dengan tenang dan penuh keyakinan untuk mendahului seawal minit keempat hasil jaringan Ramles Sari.

Manakala Perak hanya mampu merapatkan jurang pada minit-minit terakhir permainan menerusi rembatan Roslan Hamid tetapi jaringan itu sudah terlambat untuk menyekat Sarawak ke suku akhir musim ini.

Perak yang turun dengan keazaman menebus kehampaan dalam Liga Perdana Satu, menyenaraikan kesebelasan utamanya untuk menggugat Sarawak tetapi mendapati pasukan lawan mempamerkan permainan lebih tersusun pada babak pertama.

Menerusi hantaran-hantaran jauh dan tepat, Sarawak mudah menembusi kubu Perak untuk memperoleh gol pertama menerusi Ramles pada minit ke-4.

Bermula dengan tandukan Nazeri Yunus ditepis V. Murugan, sepakan sudut yang diambil selepas itu memberi ruang kepada Ramles yang tidak dikawal di sebelah kiri pintu gol Perak menyambut hantaran sebelum merembat kencang untuk menggegarkan jaring.

Babak kedua menyaksikan Perak cuba bangkit dengan memasukkan dua lagi pemain tonggaknya tetapi mendapati pertahanan Sarawak tetap sukar ditembusi.

Kegagalan mengatur gerakan kemas serta kawalan bola yang kelam kabut memudahkan Sarawak mematahkan setiap serangan yang dilakukan penyerang Perak.

Namun hasil usaha keras pemainnya, Perak akhirnya memperoleh gol saguhati menerusi Roslan yang melakukan rembatan dalam kotak penalti selepas menerima hantaran leret Chan Wing Hoong pada minit ke-90.

Sementara itu, gelanggang lawan tidak memberi masalah buat Pahang untuk meneruskan kemaraan dalam bola sepak Piala FA apabila menang 1-0 ke atas Selangor di Stadium Shah Alam, semalam.

Jaringan tunggal penyerang Wan Rohaimi Wan Ismail seawal minit kedua melebarkan jurang agregat 4-1 bagi Pahang untuk mengesahkan langkahan Tok Gajah ke suku akhir, 25 Mei ini.

Berbekalkan dua gol membenam Selangor 3-1 pada perlawanan pertama di Kuantan, Tok Gajah mempamerkan aksi sederhana tetapi Selangor lebih bersungguh-sungguh dalam usaha merapatkan jurang agregat.

Begitu pun, pasukan pelawat mengejutkan tuan rumah dengan gol pembukaan seawal minit kedua menerusi percubaan pertama mereka ke gawang Selangor.

Pemain tengah, Ahmad Shahruddin Rosdi melarikan bola secara solo ke sebelah kanan pintu gol Selangor dan melintangkan bola ke tengah yang disambar pantas Wan Rohaimi untuk menewaskan penjaga gol Amirul Zain Ismail.

Penyerang Selangor, Rusdi Suparman dan S. Paidiya Rau nyata gagal melepasi pertahanan kental Pahang sepanjang babak pertama. Skuad Red Giants hanya memperoleh dua peluang terbaik menyamakan kedudukan pada minit ke-25 dan 44.

Nazzab membuat rembatan kencang ke pintu gawang tetapi tersasar sipi sebelum Kamarulzaman Yop Majid melencongkan bola ke gawang tetapi ditanduk keluar Mohd. Ali Taha ketika penjaga gol Mudzar Mohamad sudah tertewas.

Tugas sukar bagi Selangor untuk merapatkan jurang agregat tetapi barisan Merah Kuning itu tetap berusaha memburu jaringan pada babak kedua.

Rusdi berjaya menolak masuk jaringan pada minit ke-57 hasil satu sepakan percuma tetapi gol itu tidak dikira kerana penyerang itu berada pada posisi ofsaid.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0505&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4Rgi53DFc © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan