Jumaat, 29 Julai 2016

Kemenangan pembakar semangat

ARKIB : 06/04/1998
KEJAYAAN membenam juara Piala Malaysia, Selangor pada perlawanan pembuka tirai merebut Piala Sumbangsih malam semalam meletakkan Sarawak sebagai pasukan pilihan dalam cabaran bola sepak Liga Perdana Satu musim ini, lapor ANUAR ARIFFIN.

Kehebatan Bujang Senang mulai terserlah berdasarkan keupayaannya mengaibkan jaguh Lembah Kelang 3-1 di Stadium Sarawak.

Kemenangan yang ditempa di hadapan penyokong setia Bujang Senang itu memberi petanda awal bahawa pasukan itu kini bersungguh-sungguh untuk mempertahankan juara liga yang dimenanginya tahun lalu.

Selain itu, pasukan Bumi Kenyalang pimpinan jurulatih Australia, Alan Vest juga turut berhasrat untuk mengungguli juara Piala Malaysia buat julung kalinya tahun ini.

Selepas melepasi halangan pertama dan kini mengutip tiga mata, kemampuan Sarawak sudah dinilai.

Tanpa pemain lincah, Affendi Julaihi yang berhijrah ke Negeri Sembilan dan David Evans yang kini masih dirawat kerana kecederaan, Sarawak tidak pincang di barisan hadapan.

Sebaliknya, ketiadaan kelibat Affendi membuka ruang kepada pemain berpotensi, Ramos Sari untuk menonjolkan diri selaku penjaring sensasi bagi skuad Kenyalang.

Biarpun bertubuh kecil berbanding Alistair Edwards dan Billy Bone, dua jaringan berharga pemain berusia 30 tahun itu sudah cukup membuktikan kemampuan yang dimiliki.

Aksi yang ditunjukkan Mohd. Ali Sapiee, Bobby Pian dan Roslan Ismail pula tidak kurang hebatnya sementara Mazlan Wahid pula tetap gah mengawal pintu gol daripada dibocori pihak lawan.

Penyerlahan pemain import dari Perth, Australia Barat, Doug Ithier masih lagi belum menampakkan keberkesanannya.

Doug perlu membuat sesuatu bagi menyakinkan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) agar ia dapat diserapkan dalam skuad utama Bujang Senang.

Lawan Sarawak selepas ini ialah Pahang di Stadium Darul Makmur pada 11 April ini.

Sementara itu, Vest gembira di atas kejayaan anak-anak buahnya melenyapkan cabaran Selangor.

Katanya, ini merupakan kejayaan pertama dan sudah tentu ia akan menjadi pembakar semangat kepada pemain-pemain lain untuk meneruskan tradisi kecemerlangan.

''Kita berjaya menjaringkan tiga gol pada separuh masa pertama dan inilah bukti para pemain sentiasa komited terhadap peranan masing-masing,'' katanya ketika ditemui di Stadium Sarawak, semalam.

Vest, bagaimanapun, sedar kemampuan sebenar Sarawak terutama dalam menghadapi pasukan-pasukan gergasi sepanjang kejohanan ini nanti.

''Saya akan cuba memperbaiki kelemahan yang ada sebelum Sarawak memulakan cabaran menentang Pahang di gelanggang lawan, ujarnya.

Sementara itu, jaringan tunggal Selangor melalui Azman Adnan bukan menjadi kayu pengukur kepada kekuatan sebenar jaguh Lembah Kelang itu.

Sekalipun tumpas, juara Piala Malaysia sebanyak 28 kali itu mempunyai rangkaian pemain yang boleh disandarkan harapan.

Ada ketikanya corak permainan The Red Giants bagaikan kelam kabut terutama ketika diasak bertalu-talu pihak lawan.

Dalam pada itu, penjaga gol, Mohd. Hadi Tahir gagal mengulangi persembahan cemerlang ketika dia bertindak sebagai hero bagi membolehkan Selangor ditabalkan juara Piala Malaysia musim lalu.

Jurulatih Selangor, Steve Wick berkata, beliau menerima kekalahan itu dengan hati terbuka.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0406&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4Frngcq6C © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan