ARKIB : 27/04/1998
Sarawak kembali tunjuk aksi
garang
SARAWAK kembali menunjukkan
aksi garang melalui persembahan bertenaga apabila meleburkan cabaran Perlis 2-0
di Stadium Sarawak, Kuching, kelmarin.
Kejayaan itu sememangnya
dinanti-nantikan ketika prestasi skuad Bujang Senang mula dipersoalkan terutama
di kalangan penyokong tempatan.
Selepas kejayaan menumbangkan
skuad elit, Selangor 3-1 dalam perlawanan Piala Sumbangsih, reputasi pasukan
Bumi Kenyalang seakan rapuh apabila tewas 1-2 kepada Pahang dan kemudian seri
1-1 dengan Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Justeru, kejayaan Sarawak yang
diperoleh menerusi jaringan Shamsurin Abdul Rahman (m59) dan Doug Ithier (m73)
kelmarin sudah pasti menjadi obor bagi menyemarakkan semangat juang anak-anak
Alan Vest menghadapi saingan seterusnya.
Lawan Bujang Senang selepas ini
ialah skuad Olimpik 2000 di Kuala Lumpur, Sabtu depan.
Nyata percaturan jurulatih,
Vest memasukkan Shamsurin pada babak kedua perlawanan dan meletakkan pemain
import sementara, Ithier di barisan pertahanan membuahkan hasil yang
diharapkan.
Bagi Shamsurin dan Ithier,
jaringan itu merupakan sumbangan sulung masing-masing kepada kejayaan Sarawak
setakat ini.
Bagaimanapun, persembahan Ramos
Sari dan Bobby Pian tidak seperti yang diharapkan dan kedua-dua mereka
dikeluarkan pada separuh masa pertama.
Biarpun kalah, Perlis tetap
memberi saingan yang getir kepada pasukan Bujang Senang.
Pasukan utara Semenanjung itu
mempunyai beberapa peluang terbaik untuk membocorkan gawang Sarawak, namun
ketangkasan Mazlan Wahid menidakkan percubaan mereka.
Sementara itu, Vest gembira di
atas kejayaan anak-anak buahnya mengalahkan Perlis dan menyifatkannya sebagai
permulaan untuk bangkit semula.
''Para pemain mengikut arahan
yang telah ditetapkan. Mereka bermain dengan semangat yang tinggi walaupun
pihak lawan memberi saingan hebat,'' katanya di Kuching, semalam.
Vest berkata, dia akan
memastikan Bujang Senang mengekalkan reputasinya apabila berdepan dengan skuad
Olimpik 2000 di gelanggang lawan, 2 Mei depan.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0427&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4JCbUJExL
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan