Rabu, 14 September 2016

Sarawak terus tagih Piala Malaysia

ARKIB : 07/08/1998
SEJAK sekian lama Sarawak mengidam untuk menjulang Piala Malaysia dan kini laluan ke arah itu sekali lagi hadir untuk disempurnakan musim ini.

Kesempatan beraksi dalam 13 siri kejohanan Piala Malaysia, empat daripadanya pada peringkat separuh akhir gagal memberi sebarang kenangan manis buat Bujang Senang.

Biarpun pernah mengecapi juara Piala FA pada 1992 dan naib juara Piala FA (1996) serta anugerah 'Permainan Bersih' pada 1993 dan 1994, namun 'nikmat' untuk menjulang piala berprestij - Piala Malaysia masih terus menjadi tagihan.

Justeru, kejayaan Bujang Senang melayakkan diri ke pertandingan Piala Malaysia edisi ke-30 musim ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.

Inilah peluang terbaik bagi anak-anak buah Alan Vest untuk melakarkan sejarah indah membawa pulang buat kali pertama Piala Malaysia ke Kepulauan Borneo.

Barangkali masih terlalu awal untuk mencongak peluang skuad Bumi Kenyalang apatah lagi lawan yang akan ditemui pada pusingan suku akhir dan separuh akhir masih belum diketahui lagi.

Tetapi, berdasarkan geraf pencapaian yang dilalui sepanjang mengharungi cabaran liga bermula 4 April lalu, tidak ada yang mustahil bagi Sarawak untuk melebarkan koleksi gelaran yang diinginkan.

Biarpun kekuatan Bujang Senang ada kalanya tidak konsisten tetapi dengan semangat kental dan daya saing yang dimiliki barisan pemain, Sarawak berkeupayaan untuk memenangi Piala Malaysia kali ini.

Sarawak muncul juara liga musim lalu dan awal musim ini membelasah Selangor 3-1 untuk dinobatkan sebagai juara baru Piala Sumbangsih.

Tanpa menafikan kekuatan pasukan-pasukan lain yang akan bersaing dalam cabaran Piala Malaysia, Sarawak seharusnya perlu meningkatkan kejituan pasukan menjelang bermulanya kejohanan Piala Malaysia 26 September depan.

Persediaan yang lebih tersusun dan prestasi pemain pada tahap terbaik amat dikehendaki memandangkan cabaran dalam Piala Malaysia menjanjikan persaingan sengit dan mencabar.

Pendapat ini dikongsi bersama oleh penolong jurulatih Bujang Senang, Abdul Jalil Ramlee yang tidak menafikan kejohanan Piala Malaysia adalah pentas bagi pasukan-pasukan terbaik beradu kekuatan.

Untuk itu, katanya, Sarawak perlu membuktikan pasukan itu adalah yang terbaik dan seterusnya dapat menjulang Piala Malaysia.

''Sememang itulah yang dihajatkan oleh Sarawak. Selepas menjulang juara liga dan juara Sumbangsih, matlamat kita kini ialah untuk membawa pulang Piala Malaysia,'' katanya di Kuching, semalam.

Beliau berkata, berdasarkan pengalaman beraksi dalam Piala Malaysia, pemain-pemain Sarawak berkemampuan untuk menunaikan hasrat tersebut.

Katanya, walaupun banyak halangan yang terpaksa ditempuhi tetapi yakin Bujang Senang mampu mengatasi cabaran dengan semangat perjuangan yang tinggi.

''Sarawak sudah membuktikan kemampuannya apabila layak ke pertandingan Piala Malaysia seara automatik walaupun berada pada kedudukan yang sukar diramalkan sebelum itu,'' ujarnya.

Berdasarkan hakikat tersebut, Jalil yakin impian Bujang Senang untuk menjulang Piala Malaysia musim ini bukan sesuatu yang mustahil untuk dilakukan.

Oleh: ANUAR ARIFFIN

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0807&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4KDC7moDS © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan