ARKIB : 13/04/2000
PERCATURAN Sarawak menurunkan
Bobby Pian pada perlawanan menentang Kedah kelmarin, tidak sia-sia dan ternyata
membawa tuah kepada skuad Bujang Senang apabila menewaskan skuad Kenari 2-1.
Penyerang kebangsaan itu
ternyata telah dapat membuktikan keunggulannya dan tidak menghampakan skuad
Bujang Senang meskipun dia hanya diturunkan pada babak kedua perlawanan pertama
suku akhir Piala FA itu.
Walaupun diletakkan di bangku
pemain simpanan apabila tiba 10 minit selepas aksi bermula, namun Bobby yang
baru balik dari Bangkok itu, langsung tidak menghampakan apabila menyumbat gol
kemenangan pada minit terakhir untuk Bujang Senang.
Kemampuan Bobby diakui sendiri
jurulatih Bujang Senang, Jalil Ramli, semasa mengulas kemenangan kelmarin
kepada Sukan Utusan di Kuching, semalam.
''Bobby bukan sahaja mampu
menyelamatkan maruah Bujang Senang, malah percaturan kita kena pada tempatnya,
dia tidak mengecewakan meskipun diturunkan pada separuh masa kedua.
''Dia telah dapat menyuntik
semangat kepada Bujang Senang setelah skuad kita gagal terjemahkan banyak
peluang malam tadi (kelmarin),'' katanya.
Bobby yang baru pulang bersama
skuad kebangsaan dari Bangkok dimasukkan pertengahan babak kedua bagi
menggantikan Affendi Julaihi.
Jalil mengakui permainan malam
tadi agak kurang konsisten setelah barisan penyerang gagal menterjemahkan banyak
peluang keemasan terutama semasa perlawanan babak kedua.
''Sebenarnya kita mempunyai
banyak peluang (malam tadi), persembahan kita kurang memberangsangkan, namun
nasib masih menyebelahi kita apabila berjaya menumpaskan Kedah,'' katanya.
Ditanya kenapa Bobby diturunkan
pada babak kedua perlawanan, Jalil berkata, beliau mahukan kesebelasan utama
menunjukkan aksi terlebih dahulu pada perlawanan itu.
''Bukan tidak mahu
menurunkannya (Bobby), tetapi saya nak lihat aksi kesebelasan utama terlebih
dahulu,'' katanya sambil tidak menolak kemungkinan Bobby akan diletakkan dalam
kesebelasan utama skuad itu, selepas ini.
Jalil berkata, inilah kali
pertama Bobby beraksi untuk skuad Bujang Senang selepas terus menyarung jersi
skuad kebangsaan sebelum ini.
''Bobby belum pernah menjalani
latihan dengan skuad ini, kita lihat corak persembahannya dan tidak akan
menghampakan beliau sekiranya dia terus mempamerkan aksi yang menarik,''
katanya.
Ditanya peluang skuad Bujang
Senang pada perlawanan kedua dengan Kedah di Alor Setar pada 25 April ini,
beliau berkata:
''Masanya masih panjang lagi,
kita akan bertemu Sabah, Kuala Lumpur dan Brunei terlebih dahulu sebelum
berdepan dengan Kedah.
''Apapun kita yakin pertemuan
25 April ini akan terus memihak kepada kita meskipun tidak berlawan di tempat
sendiri,'' tambahnya.
Oleh: ABDUL HAMID MOHAMAD
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0413&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4TGs441SI
© Utusan Melayu (M) Bhd