ARKIB : 16/03/2007
KUCHING Khidmat dua pemain
yang dipinjamkan dari pasukan Polis membantu Sarawak meraih satu mata berharga
apabila seri 3-3 dengan Terengganu pada saingan Liga Super di Stadium Sarawak,
kelmarin.
Pemain terbabit, Zalmie Jamlus
dan Khairul Zal Azmi nyata berjaya membantu Sarawak mempamer aksi agresif ke
atas pasukan di tangga kelima liga itu.
Zalmie, 29, bekas pemain Perlis
dan Sabah menguatkan benteng Sarawak daripada terus dibolosi.
Manakala Khairul, 24, yang
pernah beraksi bersama Kelantan dan Telekom Melaka menambah sengatan barisan
depan Sarawak yang diterajui Robert Eshun dan Romeo Kambou.
Dan jika tidak kerana kesilapan
penjaga gawang Mohd. Firdaus Ishak melepaskan satu jaringan mudah, Sarawak
mampu menukar keputusan perlawanan itu.
Jaringan Ahmad Shahril Zakaria
pada minit ke-40 untuk pelawat mengikat kedudukan 2-2 jelas boleh diselamatkan
oleh Mohd. Firdaus.
Tandukan bersahaja Ahmad
Shahril bagaimanapun melepasi jangkau Mohd. Firdaus kerana berada di luar
posisi.
Sedar akan kesilapannya, Mohd.
Firdaus mendakap tangan di dada tanda memohon maaf kepada penonton sewaktu
menuju ke bilik persalinan sejurus tamat babak pertama.
Jurulatih Sarawak, Pengiran
Bala mengakui kesilapan tuan rumah melepaskan jaringan mudah itu menghalang
tuan rumah dari menamatkan badi kekalahan.
Beliau berkata, ia merupakan
antara kelemahan yang perlu diperbaiki jika Sarawak mahu bangkit dalam saingan
liga.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0316&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4tPPi39rn
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan