Sabtu, 23 September 2017

‘Bujang Senang’ dianggap nazak



ARKIB : 19/04/2007 
Oleh SAYED HESHAM IDRIS

KUCHING – Prestasi buruk Sarawak musim ini mendapat kecaman pelbagai pihak dengan terbaru Datuk Bandar Dewan Bandar Raya Kuching Utara (DBKU) menyifatkan pasukan ‘Bujang Senang’ berada dalam keadaan ‘nazak’.

Dalam kenyataannya yang dikeluarkan di sini, semalam, Abdul Hamid Mohd Yusoff berkata, peminat bosan dan lebih membimbangkan pasukan Bujang Senang mungkin tercicir dari aksi Liga Super musim depan.

Berikutan itu, katanya, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) perlu segera memperbaiki sumber kewangannya serta pengurusan persatuan yang disifatkan lemah yang didakwa punca kemerosotan Sarawak yang kini menghuni dasar Liga Super.

‘‘Apa yang perlu FAS lakukan ialah memiliki dana yang kukuh dan pucuk pimpinan yang berpengalaman dan berdaya saing bagi membawa kemajuan kepada pasukan.

‘‘FAS perlukan kepimpinan yang mampu mengatur semula organisasi FAS supaya lebih efektif dan efisen.

‘‘FAS mesti diurus secara profesional dan bukannya diurus seperti pasukan bola sepak kampung,” katanya.

Selepas pusingan kedua, Sarawak masih gagal memperbaiki kedudukan tangga tercorot Liga Super dengan tiga mata.

Secara matematik sukar untuk Sarawak mengejar pasukan lain seperti pasukan ketiga tercorot, Negeri Sembilan yang mengumpul 17 mata.

Pasukan bimbingan Pengiran Bala itu juga sudah boleh melupakan hasrat untuk layak ke peringkat suku akhir Piala Malaysia apabila mengumpul empat mata dengan baki empat perlawanan peringkat kumpulan.

FAS melalui pelbagai detik malang musim ini bermula dengan isu pembatalan kemenangan ke atas Pulau Pinang dalam Liga Super gara-gara menurunkan pemain import yang tidak dibenarkan.

Ia diekori kemelut untuk menyelesaikan masalah menurunkan pemain import baru musim ini, Romeo Kambou tetapi kemudiannya ia berjaya menemui penyelesaian.

Baru-baru ini FAS mengumumkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang bakal menentukan kepimpinan baru persatuan itu yang sepatutnya berlangsung bulan ini ditunda pada Julai depan.

FAS memberi alasan penangguhan AGM itu bertujuan untuk persatuan memberi fokus terhadap saingan Liga Malaysia.

Abdul Hamid menjelaskan, FAS juga perlu memastikan pengurusan dan pelaksanaan prosuder kewangan yang baik dan telus bagi menarik lebih banyak tajaan.

“Jika prestasi pasukan meningkat, peminat akan kembali memenuhi stadium dan ia akan memberi pulangan kewangan kepada persatuan hasil kutipan tiket,’’ katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0419&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4tXkR9wYV
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan