ARKIB : 05/03/2007
IPOH Para pemain Sarawak
bagaikan terpukau lalu memberi ruang kepada Perak bermaharajalela dalam
perlawanan Kumpulan C Piala Malaysia di Ipoh, kelmarin.
Jurulatih Sarawak, Pengiran
Bala berkata, anak buahnya seolah-olah dipukau selama tujuh minit sehingga
Perak mampu menjaringkan tiga gol termasuk gol sendiri oleh ketua pasukan,
Jeffery Akup.
Saya tidak tahu mengapa
mereka boleh terpukau sedangkan pada separuh masa pertama Sarawak mampu
mengunci kekuatan pihak lawan, jelasnya semalam.
Kealpaan pemain-pemain Sarawak
membolehkan Keita Mandjou menjaringkan gol pada minit ke-48 dan diikuti gol
sendiri oleh Jeffery pada minit ke-50.
Selepas itu, Khalid membuatkan
Sarawak bertambah parah dengan jaringan gol keeempat Seladang pada minit ke-54.
Pasukan tuan rumah memperolehi
gol pertama hasil tandukan cantik Khalid pada minit ke-7 hasil hantaran Wong
Sai Kong.
Sarawak mendapat gol sagu hati
melalui rembatan kencang oleh M. Saravanan pada minit ke-84.
Skuad Bujang Senang juga gagal
menurunkan beberapa tonggak utamanya termasuk Mohd Shahrul Safaree yang
digantung perlawanan setelah menerima tiga kad kuning dan masalah kecederaan.
Akibatnya, persembahan
Sarawak semakin pincang yang mana pemain-pemain muda yang kurang berpengalaman
yang menjadi pemain gantian gagal menandingi skuad Seladang, tambahnya.
Bujang Senang gagal mengutip
sebarang mata dalam kumpulan C sejak empat perlawanan lalu berada pada tangga
tercorot kumpulan itu.
Sehubungan itu Pengiran Bala
beranggapan harapan Sarawak ke suku akhir Piala Malaysia sudah berakhir akibat
kekalahan berturut-turut itu.
Sarawak akan terus beraksi
seperti biasa dan bukan sekadar melengkap jadual perlawanan sahaja, tambah
jurulatih Sarawak itu. Beliau mengakui barisan pemain muda Sarawak masih
memerlukan tambahan pengalaman sebelum mampu menggugat pasukan-pasukan lain.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0305&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4tMbf7o7d
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan