Jumaat, 22 September 2017

Sarawak, Kedah tidak sabar lagi



ARKIB : 21/03/2007

KUCHING – Kemenangan pertama musim ini ke atas Pahang di sini Sabtu lalu mungkin petanda tangga tercorot Liga Super bukan lagi selayaknya milik Sarawak, lapor Sayed Hesham Idris.

Menang selesa 3-1 ke atas Pahang dalam saingan Piala Malaysia dan seri 3-3 dengan Terengganu pada aksi Liga Super membuktikan jentera serangan Sarawak semakin menyengat.

Enam gol yang dijaringkan dalam dua perlawanan lalu akan menjadi senjata Sarawak menentang Kedah di Stadium Darul Aman malam ini.

Jurulatih Sarawak, Pengiran Bala berkata, pasukan bimbingannya semakin mantap dan bersedia untuk menggegar Stadium Darulaman.

“Sarawak tidak rela lagi menghuni tangga tercorot (Liga Super) dan Kedah bukan halangan kami meneruskan kebangkitan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Di Alor Star, wartawan Shariza Abdullah melaporkan, Kedah yakin kekosongan posisi yang ditinggalkan oleh empat tonggaknya yang dipanggil menyertai latihan skuad kebangsaan dapat ditampung dengan baik oleh pemain yang bakal diturunkan.

Ketua jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah berkata, para pemain yang diberi kepercayaan itu dapat memikul tugas dengan cemerlang.

“Saya yakin mereka akan mencuba sedaya-upaya,” katanya di sini, semalam.

Empat pemain Kedah yang dipanggil menyertai skuad kebangsaan ialah Saramsak Kram, Khyril Muhymeen, Sabree Abu dan Thiru Murugan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0321&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4tPeXZtX9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan