Khamis, 21 September 2017

‘Orang lama’ taruhan Bujang Senang



ARKIB : 28/02/2007
Oleh SAYED HESHAM IDRIS

KUCHING – Sarawak mengharapkan pengalaman pemain veteran, Ramos Sari mampu membantu pasukan tercorot Liga Super itu mencatat kemenangan pertama apabila menentang Negeri Sembilan Naza di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam ini.

Ramos, 40, yang pertama kali diturunkan ketika Sarawak tewas 2-3 di tangan Polis Sabtu lalu, jelas berjaya menyuntik semangat pemain muda Sarawak apabila kerap kali mengucar-kacirkan pertahanan lawan.

Ini diakui jurulatih Sarawak, Pengiran Bala yang menyifatkan Ramos memberi impak besar di jentara serangan pasukan ‘bujang senang’ itu.

Menurut Pengiran, Ramos yang belum cergas sepenuhnya ketika perlawanan pertama Sabtu lalu, diyakini akan menambah bisa jentera serangan Sarawak pada perlawanan hari ini.

‘‘Pengalaman Ramos amat ditagih untuk menaikkan semangat pemain muda Sarawak.

‘‘Ia berhasil apabila kita berjaya menjaringkan dua gol ketika tewas kepada Polis tempoh hari.

‘‘Kita berharap aksi kedua Ramos bersama Sarawak esok (hari ini) akan lebih cemerlang untuk kita mencatat kemenangan pertama musim ini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sarawak belum mencatat sebarang kemenangan musim ini sama ada saingan Liga Super atau Piala Malaysia.

Lebih malang Sarawak tersingkir awal pada saingan Piala FA.

Sarawak melalui detik sukar apabila kemenangan 3-1 ke atas Pulau Pinang pada saingan Liga Super 27 Disember lalu dibatalkan gara-gara melanggar peraturan menurunkan pemain import, Romeo Kambou.

Hukuman itu juga selaras dengan peraturan baru pertandingan liga musim ini yang tidak membenarkan sesebuah pasukan mendaftar pemain import baru jika mereka belum menyelesaikan masalah pemain import musim sebelumnya.

Sehingga kini, Kambou masih menghuni bangku simpanan berikutan kesnya masih menemui jalan buntu.

Negeri Sembilan NAZA di tangga ketiga tercorot dengan tujuh mata hasil dua menang sekali seri.

Mengenai Kambou, Pengiran berkata, Sarawak sememangnya menagih sentuhan Kambou selepas pemain itu berjaya membantu Sarawak mencatat kemenangan ke atas Pulau Pinang, tetapi dibatalkan.

Menurut Pengiran, sejak ketiadaan Kambou, Sarawak gagal bangkit walaupun untuk mencatat keputusan seri.

Katanya, tanpa Kambou, yang bijak membuka gerakan gol, sukar bagi penyerang importnya, Robert Eshun menembusi gawang lawan.

‘‘Graf pencapaian Sarawak menjunam sejurus kita kehilangan khidmat Kambou.

‘‘Saya berharap kes Kambou segera menemui penyelesaian untuk kita bangkit dalam saingan liga,” katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4tKp6rtl3
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan