Sabtu, 17 April 2021

Sarawak tumbang akhirnya

Oleh AMRAN MULUP

17 April 2021, 1:03 am



MELAKA: Rekod tanpa kalah pendahulu Liga Perdana, Sarawak United daripada tujuh perlawanan lebur apabila tewas 0-2 kepada PDRM dalam aksi di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Biarpun tewas, Sarawak terus unggul berada di tangga teratas Liga Perdana dengan mengutip 16 mata.

Buat PDRM, gol penalti hasil sepakan ketua pasukan, Lazarus Kaimbi pada minit ke-59 sudah cukup melegakan buat jurulatihnya, Wan Rohaimi Wan Yusof untuk mengutip kemenangan kedua.

Seawal minit kesembilan pintu gol PDRM diuji melalui sepakan lencong Christie Jayaselan namun ia sekadar mengenai tiang gol sebelah kanan.

PDRM yang tersentak dengan asakan awal tuan rumah cuba menggandakan asakan namun gagal menembusi penjaga gol, Mohd. Sharbinee Allawe Ramli.

Begitupun, peluang terbaik hadir buat pelawat apabila rembatan kencang ketua pasukan, Lazarus Kaimbi di dalam kotak penalti Sarawak United berjaya ditepis keluar Mohd. Sharbinee pada minit ke-17.

Pada minit ke-31, tuan rumah kehilangan tonggak pertahanan yang juga ketua pasukan, Taylor Regan terpaksa dikeluarkan akibat ditimpa kecederaan.

Tempatnya digantikan dengan Nur Shamie Amin.

Penyerang berbisa Sarawak United yang menjaringkan empat gol ketika menewaskan skuad Projek FAM/MSN 7-1 minggu lalu, kurang menyerlah apabila dikawal ketat pemain pertahanan PDRM.

Kekasaran yang dilakukan pemain pertahanan tuan rumah, Tommy Bada membawa padah apabila pengadil, Wan Mohamad Tarmizi tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti psda minit ke-59.

Kaimbi yang mengambil sepakan itu mudah menolak masuk menewaskan Mohd. Sharbinee untuk gol pertama PDRM.

Pada minit ke-87, pemain gantian Mohamad Nabil Ahmad Latpi meledakkan jaringan kedua PDRM untuk kedudukan 2-0.SUMBER-SUKAN KOSMO ONLINE

Jumaat, 29 September 2017

Pemain direhatkan



ARKIB : 01/06/2007

KUCHING – Tiga pemain bola sepak Sarawak yang dibebaskan dengan jaminan polis, semalam akan diketepikan buat sementara waktu dari skuad itu.

Pengurus Sarawak, Razali Dolhan berkata, mereka direhatkan untuk menenangkan fikiran.

Katanya, tiada gunanya menurunkan pemain berkenaan yang kini mengalami tekanan perasaan susulan kes berkenaan.

‘‘Fikiran mereka masih terganggu dan kita memberi peluang untuk mereka menenangkan fikiran,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Jelasnya, keputusan itu merupakan pandangan peribadinya kerana pihak tertinggi pengurusan masih belum memutuskan kedudukan mereka.

Tambah Razali, ketiadaan pemain terbabit memang satu kerugian buat Sarawak untuk mengharungi baki perlawanan Liga Super.

‘‘Kita mahu berlaku adil terhadap mereka. Tiada gunanya menurunkan pemain yang tidak bersedia untuk beraksi,” ujarnya.

Jelas beliau, dia tidak menetapkan sebarang tempoh rehat bagi pemain-pemain terbabit.

Dalam pada itu, Razali menafikan laporan penjaga gol pasukan itu turut ditahan kerana positif mengambil dadah kelmarin.

Jelasnya, penjaga gol yang dimaksudkan masih berada dalam pasukan walaupun laporan menyebut dia (penjaga gol) turut ditahan.

Kelmarin, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Talib Jamal berkata, empat pemain Sarawak berusia antara 23 dan 30 tahun ditahan dalam dua serbuan berasingan oleh pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri.

Dua daripada pemain terbabit merupakan pemain tempatan manakala dua lagi masing-masing berasal dari Selangor dan Kelantan.

Bagaimanapun, hanya tiga daripada pemain terbabit direman selepas polis menemui dadah jenis ganja dan syabu di kediaman mereka.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0601&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4u86Hy8Dq
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 23 September 2017

Sarawak tempang tanpa Ramos



ARKIB : 23/04/2007

KUCHING – Sarawak terpaksa melupakan seketika khidmat pemain veteran, Ramos Sari selepas pemain berusia 40 tahun itu diperintah keluar padang pada perlawanan yang berkesudahan Sarawak menang 3-2 ke atas Sabah dalam saingan Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Sarawak, kelmarin.

Pengadil dari Angkatan Tentera, Halim Abdul Hamid tidak teragak-agak melayangkan kad merah selepas Ramos melakukan terjahan keras ke atas penyerang lawan, Mohd. Radzi Hussin, hanya empat minit selepas Ramos masuk menggantikan Zambery Zainal.

Lebih malang, aksi Ramos semalam merupakan yang pertama selepas dia terlepas beberapa perlawanan bersama Sarawak sebelum ini berikutan tidak mendapat pelepasan daripada majikannya.

Ramos dipanggil memperkuatkan skuad Sarawak yang berdepan prestasi suram apabila gagal mencatat sebarang kemenangan dalam kempen Liga Super.

Kehadiran pemain yang penuh berpengalaman itu berjaya menyuntik semangat pemain muda Sarawak.

Begitupun kemenangan semalam tidak mengubah kedudukan Sarawak di tangga kedua tercorot Kumpulan C dengan tujuh mata.

Kedah terus menerajui Kumpulan C dengan 15 mata, diikuti Perak 13, Sabah 11 dan Polis lapan mata.

Begitupun insiden dilayangkan kad merah pada minit ke-70 perlawanan semalam bakal merencatkan peluang Sarawak dalam misi memburu slot ke suku akhir Piala Malaysia dengan cuma baki tiga perlawanan.

Tanpa Ramos, Sarawak berdepan misi sukar ke suku akhir apabila menentang Polis di tempat lawan Sabtu ini sebelum menanti kunjungan Perak di tempat sendiri.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0423&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4tXy0aCgA
© Utusan Melayu (M) Bhd

‘Bujang Senang’ dianggap nazak



ARKIB : 19/04/2007 
Oleh SAYED HESHAM IDRIS

KUCHING – Prestasi buruk Sarawak musim ini mendapat kecaman pelbagai pihak dengan terbaru Datuk Bandar Dewan Bandar Raya Kuching Utara (DBKU) menyifatkan pasukan ‘Bujang Senang’ berada dalam keadaan ‘nazak’.

Dalam kenyataannya yang dikeluarkan di sini, semalam, Abdul Hamid Mohd Yusoff berkata, peminat bosan dan lebih membimbangkan pasukan Bujang Senang mungkin tercicir dari aksi Liga Super musim depan.

Berikutan itu, katanya, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) perlu segera memperbaiki sumber kewangannya serta pengurusan persatuan yang disifatkan lemah yang didakwa punca kemerosotan Sarawak yang kini menghuni dasar Liga Super.

‘‘Apa yang perlu FAS lakukan ialah memiliki dana yang kukuh dan pucuk pimpinan yang berpengalaman dan berdaya saing bagi membawa kemajuan kepada pasukan.

‘‘FAS perlukan kepimpinan yang mampu mengatur semula organisasi FAS supaya lebih efektif dan efisen.

‘‘FAS mesti diurus secara profesional dan bukannya diurus seperti pasukan bola sepak kampung,” katanya.

Selepas pusingan kedua, Sarawak masih gagal memperbaiki kedudukan tangga tercorot Liga Super dengan tiga mata.

Secara matematik sukar untuk Sarawak mengejar pasukan lain seperti pasukan ketiga tercorot, Negeri Sembilan yang mengumpul 17 mata.

Pasukan bimbingan Pengiran Bala itu juga sudah boleh melupakan hasrat untuk layak ke peringkat suku akhir Piala Malaysia apabila mengumpul empat mata dengan baki empat perlawanan peringkat kumpulan.

FAS melalui pelbagai detik malang musim ini bermula dengan isu pembatalan kemenangan ke atas Pulau Pinang dalam Liga Super gara-gara menurunkan pemain import yang tidak dibenarkan.

Ia diekori kemelut untuk menyelesaikan masalah menurunkan pemain import baru musim ini, Romeo Kambou tetapi kemudiannya ia berjaya menemui penyelesaian.

Baru-baru ini FAS mengumumkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang bakal menentukan kepimpinan baru persatuan itu yang sepatutnya berlangsung bulan ini ditunda pada Julai depan.

FAS memberi alasan penangguhan AGM itu bertujuan untuk persatuan memberi fokus terhadap saingan Liga Malaysia.

Abdul Hamid menjelaskan, FAS juga perlu memastikan pengurusan dan pelaksanaan prosuder kewangan yang baik dan telus bagi menarik lebih banyak tajaan.

“Jika prestasi pasukan meningkat, peminat akan kembali memenuhi stadium dan ia akan memberi pulangan kewangan kepada persatuan hasil kutipan tiket,’’ katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0419&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4tXkR9wYV
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 22 September 2017

Sarawak, Kedah tidak sabar lagi



ARKIB : 21/03/2007

KUCHING – Kemenangan pertama musim ini ke atas Pahang di sini Sabtu lalu mungkin petanda tangga tercorot Liga Super bukan lagi selayaknya milik Sarawak, lapor Sayed Hesham Idris.

Menang selesa 3-1 ke atas Pahang dalam saingan Piala Malaysia dan seri 3-3 dengan Terengganu pada aksi Liga Super membuktikan jentera serangan Sarawak semakin menyengat.

Enam gol yang dijaringkan dalam dua perlawanan lalu akan menjadi senjata Sarawak menentang Kedah di Stadium Darul Aman malam ini.

Jurulatih Sarawak, Pengiran Bala berkata, pasukan bimbingannya semakin mantap dan bersedia untuk menggegar Stadium Darulaman.

“Sarawak tidak rela lagi menghuni tangga tercorot (Liga Super) dan Kedah bukan halangan kami meneruskan kebangkitan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Di Alor Star, wartawan Shariza Abdullah melaporkan, Kedah yakin kekosongan posisi yang ditinggalkan oleh empat tonggaknya yang dipanggil menyertai latihan skuad kebangsaan dapat ditampung dengan baik oleh pemain yang bakal diturunkan.

Ketua jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah berkata, para pemain yang diberi kepercayaan itu dapat memikul tugas dengan cemerlang.

“Saya yakin mereka akan mencuba sedaya-upaya,” katanya di sini, semalam.

Empat pemain Kedah yang dipanggil menyertai skuad kebangsaan ialah Saramsak Kram, Khyril Muhymeen, Sabree Abu dan Thiru Murugan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0321&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4tPeXZtX9
© Utusan Melayu (M) Bhd