Sabtu, 24 September 2016

JADUAL PERLAWANAN LIGA SUPER 24.9.2016



OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
JDT lawan  T-Team
Terengganu  lawan Kedah
Selangor lawan Perak
Felda United  lawan Sarawak
Pahang lawan Pulau Pinang

Rabu, 14 September 2016

Sarawak terus tagih Piala Malaysia

ARKIB : 07/08/1998
SEJAK sekian lama Sarawak mengidam untuk menjulang Piala Malaysia dan kini laluan ke arah itu sekali lagi hadir untuk disempurnakan musim ini.

Kesempatan beraksi dalam 13 siri kejohanan Piala Malaysia, empat daripadanya pada peringkat separuh akhir gagal memberi sebarang kenangan manis buat Bujang Senang.

Biarpun pernah mengecapi juara Piala FA pada 1992 dan naib juara Piala FA (1996) serta anugerah 'Permainan Bersih' pada 1993 dan 1994, namun 'nikmat' untuk menjulang piala berprestij - Piala Malaysia masih terus menjadi tagihan.

Justeru, kejayaan Bujang Senang melayakkan diri ke pertandingan Piala Malaysia edisi ke-30 musim ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.

Inilah peluang terbaik bagi anak-anak buah Alan Vest untuk melakarkan sejarah indah membawa pulang buat kali pertama Piala Malaysia ke Kepulauan Borneo.

Barangkali masih terlalu awal untuk mencongak peluang skuad Bumi Kenyalang apatah lagi lawan yang akan ditemui pada pusingan suku akhir dan separuh akhir masih belum diketahui lagi.

Tetapi, berdasarkan geraf pencapaian yang dilalui sepanjang mengharungi cabaran liga bermula 4 April lalu, tidak ada yang mustahil bagi Sarawak untuk melebarkan koleksi gelaran yang diinginkan.

Biarpun kekuatan Bujang Senang ada kalanya tidak konsisten tetapi dengan semangat kental dan daya saing yang dimiliki barisan pemain, Sarawak berkeupayaan untuk memenangi Piala Malaysia kali ini.

Sarawak muncul juara liga musim lalu dan awal musim ini membelasah Selangor 3-1 untuk dinobatkan sebagai juara baru Piala Sumbangsih.

Tanpa menafikan kekuatan pasukan-pasukan lain yang akan bersaing dalam cabaran Piala Malaysia, Sarawak seharusnya perlu meningkatkan kejituan pasukan menjelang bermulanya kejohanan Piala Malaysia 26 September depan.

Persediaan yang lebih tersusun dan prestasi pemain pada tahap terbaik amat dikehendaki memandangkan cabaran dalam Piala Malaysia menjanjikan persaingan sengit dan mencabar.

Pendapat ini dikongsi bersama oleh penolong jurulatih Bujang Senang, Abdul Jalil Ramlee yang tidak menafikan kejohanan Piala Malaysia adalah pentas bagi pasukan-pasukan terbaik beradu kekuatan.

Untuk itu, katanya, Sarawak perlu membuktikan pasukan itu adalah yang terbaik dan seterusnya dapat menjulang Piala Malaysia.

''Sememang itulah yang dihajatkan oleh Sarawak. Selepas menjulang juara liga dan juara Sumbangsih, matlamat kita kini ialah untuk membawa pulang Piala Malaysia,'' katanya di Kuching, semalam.

Beliau berkata, berdasarkan pengalaman beraksi dalam Piala Malaysia, pemain-pemain Sarawak berkemampuan untuk menunaikan hasrat tersebut.

Katanya, walaupun banyak halangan yang terpaksa ditempuhi tetapi yakin Bujang Senang mampu mengatasi cabaran dengan semangat perjuangan yang tinggi.

''Sarawak sudah membuktikan kemampuannya apabila layak ke pertandingan Piala Malaysia seara automatik walaupun berada pada kedudukan yang sukar diramalkan sebelum itu,'' ujarnya.

Berdasarkan hakikat tersebut, Jalil yakin impian Bujang Senang untuk menjulang Piala Malaysia musim ini bukan sesuatu yang mustahil untuk dilakukan.

Oleh: ANUAR ARIFFIN

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0807&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4KDC7moDS © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 13 September 2016

Sarawak belum mengalah

ARKIB : 30/07/1998
LALUAN juara Sumbangsih, Sarawak untuk melayakkan diri ke pertandingan Piala Malaysia musim ini masih lagi belum berakhir.

Biarpun kekalahan 0-1 kepada musuh tradisi, Sabah di gelanggang sendiri, kelmarin jelas menyukarkan lagi harapan Bujang Senang untuk menempatkan diri dalam enam pasukan teratas Perdana Satu yang layak secara automatik menyertai pertandingan berprestij itu.

Bujang Senang mempunyai baki satu lagi perlawanan iaitu menentang Kuala Lumpur di gelanggang sendiri Sabtu ini.

Justeru, Sarawak perlu memenangani perlawanan penting itu walaupun dalam sisa-sisa perjuangan terakhir dengan mengharapkan pasukan-pasukan yang mempunyai peluang yang sama kecundang kepada lawan masing-masing.

Dengan mengumpul 27 mata dan berada pada anak tangga kesembilan, turun dua anak tangga ke bawah, peluang Bumi Kenyalang untuk menempah tempat ke cabaran Piala Malaysia dilihat 'terpaksa menempuh onak dan duri'.

Ini memandangkan Sabah, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor mempunyai peluang yang sama cerah untuk mengisi dua lagi kekosongan selepas Pahang, Pulau Pinang, Brunei dan Kedah sudah mengesahkan tempat lebih awal.

Terengganu dan Johor dari Perdana Dua turut layak beraksi dalam kempen Piala Malaysia.

Apakah tanpa kehadiran Alistair Edwards yang digantung dua perlawanan menjadi punca kekalahan tipis Sarawak kepada jiran tetangganya, kelmarin?

Mungkin ketiadaan penyerang import dari Lebanon itu menjadi salah satu penyebabnya, tetapi berdasarkan persembahan yang disajikan, jelas sekali anak-anak didik Alan Vest masih 'tumpul' dalam melakukan penyudah yang tepat.

Malah, Sarawak yang menguasai hampir keseluruhan permainan terutama pada separuh masa pertama kelihatan 'tempang' dalam menyempurnakan peluang-peluang yang terhidang.

Strategi jurulatih Alan Vest meletakkan Bobby Pian dan Ramles Sari selaku penyerang tidak begitu berkesan walaupun kedua-dua pemain tersebut telah menunjukkan semangat perjuangan yang tinggi.

Sambil dibantu oleh Mohd. Ali Sapiee, Ramos Sari dan Billy Bone di bahagian tengah, Bobby dan Ramles bertindak cemerlang dengan mengucar-kacirkan benteng pasukan pelawat dan memaksa penjaga gol, Khairul Azman Mohamad bekerja keras.

Sekurang-kurangnya lapan tendangan sudut diperoleh Sarawak, tetapi semuanya gagal diterjemahkan menjadi jaringan berharga.

Sabah, yang tertekan di sepanjang perlawanan ada kalanya melakukan serangan balas dan Mohd. Jaya Kassim dan David Rocastle sering menjadi 'duri dalam daging' buat Bujang Senang.

Apatah lagi dengan mendapat bantuan dari bahagian tengah yang dikepalai bekas pemain kebangsaan Yap Wai Loon, jentera skuad 'Sang Badak' seakan sangat berbahaya.

Dan, segalanya berubah pada minit ke-82 apabila Jaya, pemain lincah kelahiran Tawau berjaya melepasi kawalan barisan pertahanan Sarawak untuk menjaringkan gol tunggal kemenangan 'Negeri Di Bawah Bayu'.

Sarawak tidak putus asa dan seminit sebelum permainan ditamatkan, Ibrahim Mentali mempunyai peluang terbaik untuk menyamai kedudukan.

Bagaimanapun, tandukan yang agak keras itu gagal menyinggah ke dalam jaring pasukan lawan.

Selepas bertindak cemerlang dengan mencapai kemenangan empat kali berturut-turut, kekuatan Sarawak mulai rapuh apabila tewas 0-2 kepada Negeri Sembilan di Paroi dan 0-1 kepada Sabah di gelanggang sendiri.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0730&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4KBlGPI6G © Utusan Melayu (M) Bhd

Laluan Sarawak semakin sukar

ARKIB : 29/07/1998
SARAWAK gagal memanfaatkan kelebihan bermain di gelanggang sendiri apabila tewas 0-1 kepada Sabah pada pusingan kedua Liga Perdana Satu di Stadium Sarawak, Petra Jaya, malam tadi.

Gol tunggal kemenangan pasukan pelawat dijaringkan oleh penyerang Mohd. Jaya Kassim minit ke-82.

Pada pusingan pertama di Kota Kinabalu, Sarawak kecundang juga dengan jaringan yang sama kepada musuh tradisinya itu.

Dengan kekalahan ini bermakna laluan Bujang Senang untuk mencari tempat ke pertandingan Piala Malaysia semakin sukar.

Bermain di hadapan kira-kira 5,000 penonton, skuad Bujang Senang turun dengan penuh bersemangat untuk memburu kemenangan.

Pasukan tuan rumah nyata menguasai hampir keseluruhan perlawanan dan melancarkan serangan bertali-arus sebaik saja saingan dimulakan.

Bagaimanapun, kepincangan barisan hadapan yang disandarkan kepada Bobby Pian dan Ramles Sari gagal melakukan penyudah yang diharap-harapkan.

Tanpa penyerang import, Alistair Edwards, jentera di posisi serangan kelihatan agak tumpul dan beberapa percubaan yang dilakukan sering melewati sasaran.

Sarawak memulakan ancaman seawal minit ketiga, tetapi rembatan Bobby Pian melewati palang gol.

Dua tendangan sudut yang diperoleh minit ketujuh dan kelapan sekadar menyaksikan tandukan Doug Ithier liar ke penghujung padang.

Sarawak terus berusaha untuk mencari gol dan menggandakan asakan demi asakan.

Ketua pasukan, Billy Bone mempunyai kesempatan terbaik minit ke-14 untuk membocori gawang lawan, tetapi Khairul Azman lebih tangkas menidakkan percubaan itu.

Pasukan pelawat nyata tidak berputus asa, malah sesekali berkesempatan melakukan serangan balas terutama menerusi Jaya dan David Rocastle. Pada minit 32, Jaya hampir memalukan Sarawak, tetapi tendangan kencangnya melangkaui sasaran.

Pemain kelahiran Tawau itu sekali mempunyai peluang terbaik minit ke-60, namun rembatannya serong.

Dua minit sebelum perlawanan tamat, Ibrahim Mentali mempunyai peluang untuk menyamakan kedudukan, tetapi tandukannya melewati sasaran.

Oleh: ANUAR ARIFFIN




SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0729&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4KBcrRbqS © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 3 September 2016

Sarawak kembali tunjuk aksi garang

ARKIB : 27/04/1998
Sarawak kembali tunjuk aksi garang
SARAWAK kembali menunjukkan aksi garang melalui persembahan bertenaga apabila meleburkan cabaran Perlis 2-0 di Stadium Sarawak, Kuching, kelmarin.

Kejayaan itu sememangnya dinanti-nantikan ketika prestasi skuad Bujang Senang mula dipersoalkan terutama di kalangan penyokong tempatan.

Selepas kejayaan menumbangkan skuad elit, Selangor 3-1 dalam perlawanan Piala Sumbangsih, reputasi pasukan Bumi Kenyalang seakan rapuh apabila tewas 1-2 kepada Pahang dan kemudian seri 1-1 dengan Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Justeru, kejayaan Sarawak yang diperoleh menerusi jaringan Shamsurin Abdul Rahman (m59) dan Doug Ithier (m73) kelmarin sudah pasti menjadi obor bagi menyemarakkan semangat juang anak-anak Alan Vest menghadapi saingan seterusnya.

Lawan Bujang Senang selepas ini ialah skuad Olimpik 2000 di Kuala Lumpur, Sabtu depan.

Nyata percaturan jurulatih, Vest memasukkan Shamsurin pada babak kedua perlawanan dan meletakkan pemain import sementara, Ithier di barisan pertahanan membuahkan hasil yang diharapkan.

Bagi Shamsurin dan Ithier, jaringan itu merupakan sumbangan sulung masing-masing kepada kejayaan Sarawak setakat ini.

Bagaimanapun, persembahan Ramos Sari dan Bobby Pian tidak seperti yang diharapkan dan kedua-dua mereka dikeluarkan pada separuh masa pertama.

Biarpun kalah, Perlis tetap memberi saingan yang getir kepada pasukan Bujang Senang.

Pasukan utara Semenanjung itu mempunyai beberapa peluang terbaik untuk membocorkan gawang Sarawak, namun ketangkasan Mazlan Wahid menidakkan percubaan mereka.

Sementara itu, Vest gembira di atas kejayaan anak-anak buahnya mengalahkan Perlis dan menyifatkannya sebagai permulaan untuk bangkit semula.

''Para pemain mengikut arahan yang telah ditetapkan. Mereka bermain dengan semangat yang tinggi walaupun pihak lawan memberi saingan hebat,'' katanya di Kuching, semalam.

Vest berkata, dia akan memastikan Bujang Senang mengekalkan reputasinya apabila berdepan dengan skuad Olimpik 2000 di gelanggang lawan, 2 Mei depan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0427&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4JCbUJExL © Utusan Melayu (M) Bhd