ARKIB : 08/11/2005
Oleh Sayed Hesham Idris
KUALA LUMPUR - Pemain veteran,
Sharil Arsat serta dua lagi bekas pemain Selangor yang pernah menjulang pasukan
tersebut pada pertengahan 90-an memilih Sarawak untuk aksi Liga Malaysia musim
depan.
Turut mengiring Sharil ke
pasukan Bujang Senang ialah bekas pemain tengah Selangor Shahrin Majid serta
pertahanan kental, B. Rajinikandh.
Selain mereka, bekas ketua
pasukan Sabah, Jelius Ateng turut mengubah haluan dengan menyertai Sarawak
musim depan.
Sarawak yang mengharungi musim
suram dengan menduduki kelompok terbawah Kumpulan B Liga Perdana musim lalu
turut menyambar penyerang muda Kuala Lumpur, Mohd Safee Sali.
Mohd. Safee muncul penjaring
terbanyak Kuala Lumpur dengan tujuh gol sepanjang kempen Liga Perdana musim
lalu.
Seorang lagi pemain Kuala
Lumpur kelahiran Sarawak, Sanjos Sundawat kembali mencurah bakti untuk pasukan
negerinya pada musim depan.
Sharil yang bersama Selangor
pada 1993 hingga 1998 berkata dia memilih Sarawak kerana kagum dengan
kesungguhan pasukan tersebut membuat persediaan awal musim depan.
``Ketika pasukan lain masih
tidak menentu dalam membuat persediaan musim depan, Sarawak muncul pasukan
terawal yang berbuat demikian.
``Seminggu berpuasa, mereka
sudahpun memulakan latihan malahan saya sempat menyertai satu perlawanan
persahabatan ketika Ramadan lalu.
``Ini membuktikan mereka ada
sasaran musim depan. Kesungguhan mereka inilah yang menarik minat saya,''
katanya yang menyertai pasukan juara Piala Malaysia 2003, MPPJ Selangor musim
lalu.
Tambahnya, penyertaan bekas
seorang lagi pemain Selangor Shahrin Majid meningkatkan semangatnya bersama
Sarawak.
Sharil yang pernah berganding
dengan Shahrin di bahagian tengah Selangor selama dua musim pada 1994 dan 1995
berkata, gandingan semula mereka dalam Sarawak menyebabkan mereka tidak
berdepan masalah dalam mewujudkan persefahaman.
``Pada tahap ini kami sedang
dalam usaha untuk mengikut rentak atau corak permainan pasukan Sarawak, juga
membentuk persefahaman dengan pemain muda.
``Saya yakin gandingan pemain
senior yang berpengalaman seperti saya, Shahrin, Rajanikandh juga Jelius Ateng
dengan pemain muda yang masih bertenaga, Sarawak mampu menjadi pasukan yang
digeruni pada musim depan,'' katanya yang pernah mewakili Sabah beberapa tahun
lalu.
Tambah Shahril, faktor
penyokong turut mempengaruhi minatnya menyarung jersi Sarawak.
``Saya kagum dengan sokongan
yang ditunjukkan oleh penyokong Sarawak di mana ketika perlawanan persahabatan
saja, hampir 10,000 orang hadir menyaksikannya.
``Keadaan sedemikian tiada
ketika bersama MPPJ Selangor. Sokongan padu seperti ini menambah semangat
pemain. Saya yakin pasukan yang dibentuk sekarang mampu menggegar musim
depan,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4jDZo9aUu
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan