Sabtu, 10 Jun 2017

Giliran Sarawak terajui Liga Perdana


ARKIB : 16/01/2006
PEMAIN Melaka, Mohd. Fareed Shah Hassan (dua dari kiri) dicabar oleh pemain Kuala Lumpur, Muhammad Shahrom,sewaktu aksi bola sepak Liga Perdana 2006 di Stadium Hang Jebat, Melaka , semalam. Melaka menang 2-1. - Gambar GAIE UCHEL.

KUALA LUMPUR - Kejutan UPB Perak, yang sebelum ini mendahului persaingan bola sepak Liga Perdana dalam Kumpulan A berakhir semalam, apabila mereka tumpas kepada Terengganu sekali gus membuka ruang buat Sarawak dan Kedah mengambil alih teraju.

Saingan Kumpulan B pula terus sengit di antara Melaka dengan Johor FC apabila kedua-dua pasukan mencipta kemenangan bergaya semalam.

Sarawak, yang terpaksa bermain dengan 10 pemain membelasah DPMM Brunei 3-0 hasil jaringan Moegamad Junaid (minit 12), Gilbert Cassidy Gawing (minit 47) dan Shahrin Majid (minit 75) di Stadium Sarawak, Kuching.

Shahrin kemudian menerima kad merah tetapi sudah terlewat buat DPMM untuk bangkit.

Kedah memastikan mereka terus bersaing apabila menang 2-1 ke atas NTFA di Stadium Darulaman.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu menggunakan kelebihan bermain di hadapan penyokong sendiri untuk menundukkan Perak UPB 2-0 hasil jaringan Helpon Soaref (minit 27) dan Sapian Wahid (minit 85).

Sebaliknya, Johor gagal menggunakan peluang beraksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru apabila hanya seri 2-2 dengan pasukan Kelantan.

Pertemuan Melaka dengan Kuala Lumpur di Stadium Hang Jebat kelihatan akan berakhir dengan keputusan seri sehinggalah pemain muda, Faderin Kadir membuat gerakan solo untuk gol kemenangan pada minit ke-89.

Dua minit sebelumnya, tuan rumah bermain dengan 10 pemain apabila Norhisham Kamaruddin di buang padang.

Sebelum itu Facundo Arguello menyamakan kedudukan pada minit ke-18 untuk Kuala Lumpur setelah Fatrurazi Rozi meletakkan Melaka di depan pada minit ke-14.

Johor FC pula menundukkan PKNS Selangor 2-0 hasil jaringan Gaston Conlon (minit 28) dan Mohd. Ezaidy Khadar (minit 85) di Stadium Petaling Jaya untuk sama-sama berkongsi 15 mata dengan Melaka.

Di Stadium MPS, Selayang, Shahzan Muda berpesta gol apabila menang 4-1 ke atas tuan rumah Polis. Shahzan Muda memperoleh gol hasil percubaan Mohd. Khairul Salleh (minit 4), Eche Rocha (minit 37), Abdulafees Abdulsalim (minit 41) dan sepakan penalti Clifford Clarke (minit 68) sebelum membenarkan Bonny Wilson membolosi mereka pada minit ke-90 untuk gol sagu hati Polis.

Di Kota Kinabalu, Sabah berterima kasih kepada Julio Rodriguez yang menjaringkan gol pada minit ke-85 untuk menundukkan TNB Kelantan 1-0 di Stadium Likas.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4jbOn8BZT
© Utusan Melayu (M) Bhd


Jumaat, 9 Jun 2017

Sarawak tersalah percaturan



ARKIB : 23/12/2005
GARA-GARA tersalah percaturan, Sarawak terpaksa berkongsi satu mata dengan NTFA Pulau Pinang (NTFA), pasukan tercorot saingan Kumpulan A bola sepak Liga Perdana di Stadium Sarawak, kelmarin, lapor Borhan Abu Samah.

Sarawak, yang menang ke atas Johor dan Kedah serta seri dengan Terengganu mengungguli kumpulan A dan melakukan eksperimen kombinasi baru memandangkan kedudukan pasukan lawan di tangga tercorot.

Namun jaringan ketua pasukan NTFA, G. Shanmugan minit ke-24 mengejutkan tuan rumah yang menyamakan kedudukan minit ke-45 melalui Safee Saili.

Kekalutan berlaku ekoran langkah jurulatih Sarawak, Jalil Rambli meletakkan Bobby Pian di bek kanan bersama B. Rajanikand, Jelius Ating serta Mohd Fadly Kassim dan merehatkan Gasili Penggalut.

Kombinasi import Junaid Hartley dan Ivan Zigar di bahagian tengah seakan-akan tidak mempunyai kesinambungan dengan jentera serangan yang dikemudi Kurniawan Dwi Julianto bersama-sama Safee serta Ramos Sari.

Jalil berkata, beliau melakukan perubahan posisi dengan harapan ia dapat menghasilkan kombinasi yang mantap.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4jWcrIpaj
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sarawak masih ditangga teratas



ARKIB : 22/12/2005
KUALA LUMPUR - Sarawak terus mengekalkan kedudukan tangga teratas Kumpulan A bola sepak Liga Perdana walaupun hanya mencatat keputusan seri 1-1 bertemu NTFA di Stadium Sarawak.

Lebih melegakan apabila saingan terdekat NTFA yang menduduki tangga kedua sebelum itu tewas 0-1 kepada Kedah di Stadium Darul Aman.

Dalam saingan Kumpulan B pula, Melaka terus menerajui tangga teratas dengan memungut lapan mata walaupun sekadar mencatat keputusan seri 1-1 bertemu Sabah di Stadium Likas. Saingan terdekat Kuala Lumpur pula dikejutkan dengan kekalahan 1-3 kepada Polis di Stadium Selayang.

Di Stadium Sarawak, kelebihan bermain di gelanggang sendiri gagal dimanfaatkan apabila Sarawak sekadar mencatat keputusan seri 1-1 bertemu NTFA.

Sarawak dikejutkan dengan gol pendahuluan NTFA menerusi penyerang G. Shanmugan pad aminit ke-24.

Bagaimanapun Sarawak bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan Mohd. Safee Sali pada minit ke-45.

Di Stadium Darul Aman, Shahfizan Hashim muncul hero apabila menjaringkan gol kemenangan Kedah menewaskan Perak UPB 1-0.

Di Stadium Larkin, Johor memahatkan kemenangan kedua dengan Mohd. Affandi Zam Zam muncul hero menjaringkan gol kemenangan membantu kemenangan 2-1 ke atas Terengganu.

Ahmad Latiff Khamarudin membuka tirai jaringan pertama pada minit ke-35 sebelum penyerang Terengganu, Norizam Ali Hassan menyamakan kedudukan seminit sebelum rehat.

Di Stadium Sultan Mohd Ke-IV, Kelantan memungut tiga mata penuh apabila menewaskan Brunei 2-0. Mohd. Sairozi Daud muncul hero buat Kelantan apabila meledakkan dua jaringan pada minit ke-62 dan 83.

Di Stadium Darul Makmur, Shahzan Muda sekadar mencatat keputusan seri 2-2 bertemu PKNS. Gol-gol Shahzan Muda dijaringkan oleh Abdulafees Abdulsalam (m-50) dan Sutharsan Perumal (m-51) manakala PKNS pula menerusi Mohizam Shah Dawoodshah (m-45) serta Roman Chmelo (m-56).

Di Stadium Selayang, Polis mencipta kejutan apabila menewaskan Kuala Lumpur 3-1 untuk meraih kemenangan kedua.

Silverter Sindih menjaringkan dua gol buat Polis pada minit ke-43 dan 87 disusuli oleh Mohd. Nizam pada minit ke-40. Gol tunggal Kuala Lumpur dijaringkan oleh Carlos Quinones pada minit ke-58.

Di Stadium Likas, Sabah terus hampa untuk mengutip tiga mata berharga apabila sekadar seri 1-1 dengan Melaka.

Di Stadium Lada Langkawi pula, tuan rumah TNB sekadar seri 0-0 ketika bertemu Johor FC.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4jWbt6BzP
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 6 Jun 2017

Sharil bawa diri ke Sarawak



ARKIB : 08/11/2005

Oleh Sayed Hesham Idris

KUALA LUMPUR - Pemain veteran, Sharil Arsat serta dua lagi bekas pemain Selangor yang pernah menjulang pasukan tersebut pada pertengahan 90-an memilih Sarawak untuk aksi Liga Malaysia musim depan.

Turut mengiring Sharil ke pasukan Bujang Senang ialah bekas pemain tengah Selangor Shahrin Majid serta pertahanan kental, B. Rajinikandh.

Selain mereka, bekas ketua pasukan Sabah, Jelius Ateng turut mengubah haluan dengan menyertai Sarawak musim depan.

Sarawak yang mengharungi musim suram dengan menduduki kelompok terbawah Kumpulan B Liga Perdana musim lalu turut menyambar penyerang muda Kuala Lumpur, Mohd Safee Sali.

Mohd. Safee muncul penjaring terbanyak Kuala Lumpur dengan tujuh gol sepanjang kempen Liga Perdana musim lalu.

Seorang lagi pemain Kuala Lumpur kelahiran Sarawak, Sanjos Sundawat kembali mencurah bakti untuk pasukan negerinya pada musim depan.

Sharil yang bersama Selangor pada 1993 hingga 1998 berkata dia memilih Sarawak kerana kagum dengan kesungguhan pasukan tersebut membuat persediaan awal musim depan.

``Ketika pasukan lain masih tidak menentu dalam membuat persediaan musim depan, Sarawak muncul pasukan terawal yang berbuat demikian.

``Seminggu berpuasa, mereka sudahpun memulakan latihan malahan saya sempat menyertai satu perlawanan persahabatan ketika Ramadan lalu.

``Ini membuktikan mereka ada sasaran musim depan. Kesungguhan mereka inilah yang menarik minat saya,'' katanya yang menyertai pasukan juara Piala Malaysia 2003, MPPJ Selangor musim lalu.

Tambahnya, penyertaan bekas seorang lagi pemain Selangor Shahrin Majid meningkatkan semangatnya bersama Sarawak.

Sharil yang pernah berganding dengan Shahrin di bahagian tengah Selangor selama dua musim pada 1994 dan 1995 berkata, gandingan semula mereka dalam Sarawak menyebabkan mereka tidak berdepan masalah dalam mewujudkan persefahaman.

``Pada tahap ini kami sedang dalam usaha untuk mengikut rentak atau corak permainan pasukan Sarawak, juga membentuk persefahaman dengan pemain muda.

``Saya yakin gandingan pemain senior yang berpengalaman seperti saya, Shahrin, Rajanikandh juga Jelius Ateng dengan pemain muda yang masih bertenaga, Sarawak mampu menjadi pasukan yang digeruni pada musim depan,'' katanya yang pernah mewakili Sabah beberapa tahun lalu.

Tambah Shahril, faktor penyokong turut mempengaruhi minatnya menyarung jersi Sarawak.

``Saya kagum dengan sokongan yang ditunjukkan oleh penyokong Sarawak di mana ketika perlawanan persahabatan saja, hampir 10,000 orang hadir menyaksikannya.

``Keadaan sedemikian tiada ketika bersama MPPJ Selangor. Sokongan padu seperti ini menambah semangat pemain. Saya yakin pasukan yang dibentuk sekarang mampu menggegar musim depan,'' katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4jDZo9aUu
© Utusan Melayu (M) Bhd