Sabtu, 29 April 2017

Sarawak gugur sepuluh pemain

ARKIB : 21/10/2004
PERSATUAN Bola Sepak Sarawak (FAS) hari ini mengumumkan pengguguran 10 nama dari senarai pasukan bola sepaknya manakala tujuh lagi pemain akan dinilai semula oleh jurulatih baru.
Presiden FAS, Dr. Abdul rahman Junaidi berkata, 10 nama yang digugurkan itu dibuat atas beberapa faktor termasuk umur serta tamat kontrak.
Menurutnya, hanya tujuh pemain senior dikekalkan dalam pasukan itu. Mereka ialah Bobby Pian, Kamarulzaman Hassan, Mohd. Firdaus Ishak, Mohd. Fadly Kassim, Hussen Abdul Razak, Kamaludin Taha dan Zulkifli Sulaiman.
``Tujuh lagi pemain akan dinilai semula oleh jurulatih baru yang akan dilantik tidak lama lagi,'' katanya kepada pemberita di Kuching, semalam.
Katanya, tujuh pemain yang akan dinilai semula ialah Sapian Wahid, Irwandy Jampaka, Jeffry Akup, Andy Kaso Sia, Farunizam Junaide, Mohd. Kemri Hamlet dan Abang Mohd. Zafari Abang Othman.
Turut digugurkan termasuk tiga pemain import - Robert Eshun, Rodrigo Anderson dan Fernandes Manuel.
Beliau memberitahu, latihan untuk 14 pemain akan bermula hari ini sehingga 11 November dan senarai penuh pemain dijangka akan diumumkan pada 22 November.
Menurutnya lagi, sebagai gantian kepada mereka yang digugurkan, FAS akan mencari beberapa pemain import dari Eropah Timur dan China serta pemain tempatan.
``Pasukan bola sepak Sarawak kini akan berwajah baru yang dianggotai kebanyakannya di kalangan pemain muda yang berkebolehan dengan purata usia 25 tahun ke bawah,'' jelasnya.
Sehubungan itu katanya, sistem pemilihan pemain juga akan diubah kepada aliran terus bagi membolehkan jurulatih mengambil pemain yang dikenalpasti berkemampuan dari mana-mana peringkat termasuk dari Akademi FAS.
Beliau berkata, FAS mencari jurulatih yang bertanggungjawab terhadap pasukan Liga Perdana, Piala Presiden, Akademi FAS dan pasukan bawah 16.
Dr. Abdul Rahman berkata, senarai pendek tiga jurulatih dari luar sudah diperoleh dan FAS kini di peringkat akhir penilaian.
FAS membubarkan semua pasukan bola sepaknya pada 13 Oktober lalu dalam usaha membentuk pasukan baru yang dapat mengembalikan kecemerlangan pasukan Sarawak, yang dianggap buruk musim ini.

Jumaat, 28 April 2017

Sarawak belasah Public Bank

ARKIB : 11/09/2004
PUBLIC Bank menerima malu besar dalam kempen bola sepak Piala Malaysia apabila dibelasah oleh Sarawak dengan keputusan 6-0 pada perlawanan Kumpulan C di Stadium Sarawak, Kuching semalam.
Mohd. Kemri Hemlet memulakan pesta gol Sarawak dengan jaringan pada minit ke-37 dan Rodrigo Anderson hanya memerlukan dua minit kemudian untuk meletakkan Public Bank ketinggalan 2-0 pada separuh masa pertama.
Sarawak menambah derita Public Bank dengan menambah dua gol mene-rusi Robert Eshun (minit 477, 69th), Fernando Manuel Co (63) dan Ramos Sari (80).
Ia merupakan kekalahan pertama Public Bank selepas tiga perlawanan dalam kempen Piala Malaysia. Mereka bagaimanapun masih kekal mendahului kedudukan dalam Kumpulan C dengan enam mata.
Sarawak, yang sebelum ini di tangga tercorot setelah kalah kedua-dua perlawanan sebelum ini, kini mengumpul melonjak ke tangga kedua kumpulan, mengatasi Selangor di tempat kedua diikuti oleh Kuala Lumpur.
Ketiga-tiga pasukan mengumpul tiga mata tetapi Sarawak memiliki kelebihan jumlah jaringan.
Kongsi Konten di :

Khamis, 6 April 2017

Sarawak perkukuhkan kedudukan



 ARKIB : 03/09/2003
SARAWAK mengukuhkan kedudukan untuk merebut satu slot ke suku akhir dari Kumpulan B bola sepak Piala Malaysia selepas mengatasi Negeri Sembilan 3-1 di Stadium Hang Tuah, Melaka, semalam, lapor MOHD. NIZAM HAMID.

Hadir selaku pasukan pelawat, skuad Bujang Senang kini agak selesa dengan sembilan mata selepas lima perlawanan, sekali gus memintas pendahulu sebelumnya, Perlis yang mengumpul lapan mata.

Perlis turun untuk perlawanan kelimanya malam ini menentang Telekom Melaka juga di Stadium Hang Tuah.

Tonggak import Sarawak, Robert Eshun menggegarkan jaring Negeri Sembilan dua kali pada minit ke-18 dan 64. Satu lagi gol dijaringkan oleh Sapian Wahid minit ke-31.

Jaringan pembukaan Eshun dihasilkan menerusi rembatan leret setelah menerima bola hantaran Ramles Sari yang gagal dikekang penjaga gol Negeri Sembilan, Mohamad Suffian.

Bagaimanapun, Suharmin Yusof memadamkan jaringan Eshun tiga minit kemudian.

Bekas pemain kebangsaan itu mengambil kesempatan ketika perebutan di depan gawang Sarawak dengan menyepak leret dari jarak dekat.

Sapian bagaimanapun kembali menceriakan kem Sarawak apabila sentuhannya hasil gerakan satu dua dengan Ramos Sari berjaya memperdayakan Suffian untuk gol kedua pasukannya.

Eshun menambah selesa dengan gol ketiga pada minit ke-64 untuk Sarawak mencatat kemenangan kedua dan pulang gembira ke Kuching.

Negeri Sembilan tewas buat kali ketiga dalam kempen ini dan berada di tangga ketiga dengan empat mata.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0903&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4dTiSrQ7d
© Utusan Melayu (M) Bhdsumber