ARKIB : 06/04/1998
KEJAYAAN membenam juara Piala
Malaysia, Selangor pada perlawanan pembuka tirai merebut Piala Sumbangsih malam
semalam meletakkan Sarawak sebagai pasukan pilihan dalam cabaran bola sepak
Liga Perdana Satu musim ini, lapor ANUAR ARIFFIN.
Kehebatan Bujang Senang mulai
terserlah berdasarkan keupayaannya mengaibkan jaguh Lembah Kelang 3-1 di
Stadium Sarawak.
Kemenangan yang ditempa di
hadapan penyokong setia Bujang Senang itu memberi petanda awal bahawa pasukan
itu kini bersungguh-sungguh untuk mempertahankan juara liga yang dimenanginya
tahun lalu.
Selain itu, pasukan Bumi
Kenyalang pimpinan jurulatih Australia, Alan Vest juga turut berhasrat untuk
mengungguli juara Piala Malaysia buat julung kalinya tahun ini.
Selepas melepasi halangan
pertama dan kini mengutip tiga mata, kemampuan Sarawak sudah dinilai.
Tanpa pemain lincah, Affendi
Julaihi yang berhijrah ke Negeri Sembilan dan David Evans yang kini masih
dirawat kerana kecederaan, Sarawak tidak pincang di barisan hadapan.
Sebaliknya, ketiadaan kelibat
Affendi membuka ruang kepada pemain berpotensi, Ramos Sari untuk menonjolkan
diri selaku penjaring sensasi bagi skuad Kenyalang.
Biarpun bertubuh kecil
berbanding Alistair Edwards dan Billy Bone, dua jaringan berharga pemain
berusia 30 tahun itu sudah cukup membuktikan kemampuan yang dimiliki.
Aksi yang ditunjukkan Mohd. Ali
Sapiee, Bobby Pian dan Roslan Ismail pula tidak kurang hebatnya sementara
Mazlan Wahid pula tetap gah mengawal pintu gol daripada dibocori pihak lawan.
Penyerlahan pemain import dari
Perth, Australia Barat, Doug Ithier masih lagi belum menampakkan
keberkesanannya.
Doug perlu membuat sesuatu bagi
menyakinkan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) agar ia dapat diserapkan dalam
skuad utama Bujang Senang.
Lawan Sarawak selepas ini ialah
Pahang di Stadium Darul Makmur pada 11 April ini.
Sementara itu, Vest gembira di
atas kejayaan anak-anak buahnya melenyapkan cabaran Selangor.
Katanya, ini merupakan kejayaan
pertama dan sudah tentu ia akan menjadi pembakar semangat kepada pemain-pemain
lain untuk meneruskan tradisi kecemerlangan.
''Kita berjaya menjaringkan
tiga gol pada separuh masa pertama dan inilah bukti para pemain sentiasa
komited terhadap peranan masing-masing,'' katanya ketika ditemui di Stadium
Sarawak, semalam.
Vest, bagaimanapun, sedar
kemampuan sebenar Sarawak terutama dalam menghadapi pasukan-pasukan gergasi
sepanjang kejohanan ini nanti.
''Saya akan cuba memperbaiki
kelemahan yang ada sebelum Sarawak memulakan cabaran menentang Pahang di
gelanggang lawan, ujarnya.
Sementara itu, jaringan tunggal
Selangor melalui Azman Adnan bukan menjadi kayu pengukur kepada kekuatan
sebenar jaguh Lembah Kelang itu.
Sekalipun tumpas, juara Piala
Malaysia sebanyak 28 kali itu mempunyai rangkaian pemain yang boleh disandarkan
harapan.
Ada ketikanya corak permainan
The Red Giants bagaikan kelam kabut terutama ketika diasak bertalu-talu pihak
lawan.
Dalam pada itu, penjaga gol,
Mohd. Hadi Tahir gagal mengulangi persembahan cemerlang ketika dia bertindak
sebagai hero bagi membolehkan Selangor ditabalkan juara Piala Malaysia musim
lalu.
Jurulatih Selangor, Steve Wick
berkata, beliau menerima kekalahan itu dengan hati terbuka.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0406&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4Frngcq6C
© Utusan Melayu (M) Bhd